GDEX sasar bina perniagaan baharu berasaskan kecekapan digital dan teknologi | DagangNews Skip to main content

GDEX sasar bina perniagaan baharu berasaskan kecekapan digital dan teknologi

GDEX akan meningkatkan kecekapan digital dan teknologi sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat dalam melangkah ke hadapan.

KUALA LUMPUR 5 Mei - Syarikat kurier, GDEX Bhd menyasarkan untuk membina segmen perniagaan baharu yang akan menjana aliran hasil dan pusat keuntungan tambahan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Teong Teck Lean berkata, usaha tersebut akan dilaksanakan dengan memanfaatkan kecekapan rantaian bekalan kami dan infrastruktur yang luas untuk mewujudkan platform lebih berdaya tahan bagi memacu pertumbuhan mampan.

 

''Inisiatif pertumbuhan itu juga akan dilengkapkan dengan pelaburan strategik untuk mengukuhkan perniagaan teras dan pengembangan portfolio perniagaan dan pelaburan GDEX,'' katanya dalam laporan tahunan terbaharu syarikat itu, baru-baru ini.

 

Teong berkata, GDEX akan meningkatkan kecekapan digital dan teknologi sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat dalam melangkah ke hadapan.

 

''Kecekapan digital dan teknologi ini akan membentuk teras bagi produk dan segmen perniagaan baharu syarikat di masa mendatang,'' ujar beliau.

 

Mengimbas kembali, Teong berkata peristiwa yang berlaku dalam tempoh dua tahun lepas adalah "kejadian sekali dalam seumur hidup."

 

“Kami tidak pernah bersedia untuk penyakit berjangkit sebesar itu. Namun begitu, pasukan GDEX tangkas dalam menguruskan kelemahan yang timbul daripada wabak COVID-19.

 

''Memandangkan logistik global adalah antara segelintir industri yang operasinya dianggap perkhidmatan penting, industri domestik menyaksikan ramai pemain baharu, memandangkan potensi perniagaan yang menarik dan halangan rendah untuk turut serta,” ujarnya.


 

Teong Teck Lean
                                               Teong Teck Lean

 


Teong berkata ini menjadikan pasaran yang sudah sesak semakin teruk, dengan persaingan harga yang sengit dan ada kalanya menjejaskan kualiti perkhidmatan.

 

"Syarikat kurier, terutamanya pemain domestik, menghadapi ancaman hayat disebabkan peningkatan kos operasi, seperti perbelanjaan yang lebih tinggi untuk langkah keselamatan yang dipertingkatkan dan kos pematuhan dan peraturan tambahan, di samping pelan pengurangan risiko yang lebih ketat untuk kesinambungan perniagaan."

 

Teong berkata GDEX akan memanfaatkan pasukan pakarnya secara dalaman untuk memacu kerjasama merentas platform serantau kumpulan itu.

 

"Ini akan melibatkan mewujudkan laluan logistik baharu dan mendapatkan pelanggan untuk perkhidmatan pengimportan," katanya. - DagangNews.com