GE Gas Power terima pesanan peralatan kuasa 1.2GW di Malaysia | DagangNews Skip to main content

GE Gas Power terima pesanan peralatan kuasa 1.2GW di Malaysia

Loji Janakuasa Pulau Indah

Loji Janakuasa Pulau Indah.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac. - Syarikat peneraju teknologi kuasa gas semulajadi, GE Gas Power (GE)  menerima pesanan untuk membekalkan peralatan penjanaan kuasa untuk Loji Janakuasa 1,200 megawatt (MW) atau 1.2 gigiwatt (GW) Pulau Indah di Selangor, Malaysia.

 

GE berkata, pesanan tersebut diterima daripada konsortium kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) iaitu Posco Engineering & Construction Co. Ltd. (POSCO), Mitsubishi Corporation dan PEC Powercon Sdn. Bhd.

 

Loji tersebut akan dikuasakan oleh teknologi sangat efisien HA GE dan akan terdiri daripada dua blok loji kuasa kitar tergabung yang menampilkan konfigurasi keseluruhan loji yang modular dan menjimatkan kos untuk dipasang, dikawal dan disenggara. 

 

Dalam pada itu, bagi projek Loji Janakuasa Pulau Indah tersebut, GE akan membekalkan pelbagai perkhidmatan penyelesaian penuh selama 21 tahun.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GE Gas Power Asia, Ramesh Singaram berkata, pihaknya amat berbangga menjadi sebahagian daripada projek menarik tersebut. 

 

"Kami membawa lebih daripada 80 tahun pengalaman pengeluaran peralatan loji janakuasa gas ke projek Loji Janakuasa Pulau Indah.

 

"Turbin gas 9HA direkayasa untuk menjadi sangat efisien dan fleksibel untuk pastikan tahap pelepasan rendah. Ini termasuk kadar tanjakan yang tinggi dan waktu permulaan yang cepat untuk memenuhi permintaan yang berubah-ubah, dan keupayaan untuk membakar hidrogen hingga 50% apabila dicampur dengan gas asli. 

 

"Kami melihat peningkatan kecekapan yang berterusan pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ramesh Singaram
Ramesh Singaram

 

Bagi projek Loji Janakuasa Pulau Indah, GE akan membekalkan dua blok 600 MW, di mana setiap blok termasuk sebuah turbin gas 9HA.01 GE, sebuah turbin stim STF-D650, sebuah penjana W88 dan sebuah Penjana Wap Pemulihan Haba Sekali Lalu (Once Through Heat Recovery Steam Generator - OT HRSG). 

 

Teknologi OT HRSG GE merupakan penggerak utama dalam kitaran wap air maju yang memberikan kecekapan kitaran gabungan yang lebih tinggi, manakala 9HA GE merupakan keluaran unggul syarikat tersebut dan turbin gas 50 Hz yang paling efisien. 

 

Loji Janakuasa Pulau Indah yang dikuasakan oleh gas asli disasarkan untuk mencapai operasi komersial pada tahun 2024.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd. (PIPP), Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, Malaysia terutamanya di negeri Selangor, telah melihat pembangunan ekonomi secara besar-besaran, pembandaran dan pertumbuhan penduduk dalam tiga dekad terakhir yang menjadi pemacu utama permintaan tenaga yang meningkat, walaupun disertai dengan peningkatan pelepasan gas rumah hijau.

 

"Ia sangat penting bagi kami untuk memilih teknologi yang sangat efisien, seperti 9HA.01 GE, untuk bantu mengurangkan jumlah bahan bakar yang digunakan untuk menjana elektrik, dan bekerjasama dengan GE untuk membekalkan perkhidmatan, dan peningkatan prestasi yang menjimatkan pada peralatan penjanaan kuasa akan membantu kami mencapai matlamat kami," katanya.

 

Dalam usaha untuk mengurangkan gas rumah hijau seperti yang digariskan dalam Sumbangan Ditentukan Negara Seperti Yang Dihasratkan (INDC), Malaysia ingin mencapai sasaran pengurangan pelepasan CO2 sebanyak 45% pada tahun 2030 di seluruh industri utama termasuk penjanaan kuasa. 

 

Disebabkan cabaran untuk mengurangkan pelepasan mengikut perkembangan ekonomi, ketersediaan teknologi karbon rendah telah menjadi satu fokus penting. 

 

Di bawah sumbangan tersebut, peningkatan kecekapan penjanaan elektrik di loji janakuasa termal dapat menyokong matlamat pengurangan pelepasan negara.

 

Bagi projek berkenaan juga, GE telah menandatangani sebuah perjanjian perkhidmatan selama 21 tahun dengan PIPP iaitu sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) yang diketuai oleh dua pemegang saham terkemuka - Worldwide Holdings Berhad dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO).

 

Tambah GE, kerja penyelenggaraan yang dirancang termasuklah bahagian kapital, pemeriksaan utama terhadap turbin gas 9HA.01, bersama dengan khidmat nasihat teknikal, pembaikan, dan bahagian kapital. 

 

Prestasi keseluruhan loji akan dipantau dan ditingkatkan dengan penyelesaian perisian bersepadu GE - Sistem Kawalan Diedarkan (DCS) Mark* Vie - untuk meningkatkan kebolehlihatan, kebolehpercayaan, dan ketersediaan loji sambil mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan. - DagangNews.com