Gejala penyakit neuropatik terus dipandang remeh, 68% pesakit sedar simptom berkaitan dengan diabetes - kajian Viatris | DagangNews Skip to main content

Gejala penyakit neuropatik terus dipandang remeh, 68% pesakit sedar simptom berkaitan dengan diabetes - kajian Viatris

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Sebanyak 68% pesakit neuropatik (NeP) di Malaysia mendakwa mereka sedar tentang kaitan antara simptom kesakitan dan diabetes sebelum diagnosis mereka, menurut kajian Viatris.

 

Menerusi tinjauan tersebut, dari permulaan simptom awal, pemikiran utama yang terlintas di fikiran pesakit adalah kaitan dengan keadaan sedia ada yang lain (25%), harapan kesakitan itu akan berlalu (39%), kaitan dengan proses penuaan (40%) dan kesakitan itu adalah sementara (36%).

 

Kesakitan neuropatik didefinasikan sebagai kesakitan yang disebabkan oleh lesi atau penyakit sistem saraf deria somato. 

 

Walaupun keadaan ini merangkumi 20% hingga 25% daripada kesakitan kronik, namun ia juga paling kurang didiagnosis dengan pesakit tidak mendapat rawatan yang sesuai. 

 

Salah satu punca NeP yang paling biasa adalah neuropati periferal diabetik (DPN) iaitu komplikasi kronik diabetes yang paling lazim kerana ia menyebabkan kerosakan saraf yang membawa kepada kesakitan di bahagian kaki dan tangan.  

 

Selain itu, sejumlah 1 dalam 4 penghidap diabetes boleh mengalami neuropatik periferal diabetik yang menyakitkan. 

 

Keadaan ini menjejaskan keupayaan individu untuk melaksanakan aktiviti harian dan memberikan impak yang besar kepada kualiti kehidupan mereka dari perspektif emosi dan praktikal. 

 

 

viatris

 

Individu yang menghidap diabetes dan NeP menggambarkan kesakitan yang dialami di bahagian kaki atau bawah badan bagai ‘bahang panas daripada api’, ‘rasa menyucuk pin dan jarum halus’, ‘kejutan elektrik daripada ribut petir’.

 

Selain itu, ia ‘seperti ditikam pisau’ dan ‘umpama ratusan semut merayap sehingga terasa menjengkelkan’. Pesakit juga berasa risau, resah dan takut akan keadaan yang dialami. 

 

Di Malaysia, pakar penjagaan kesihatan yang bertanggungjawab untuk diagnosis tersebut adalah pakar endokrinologi untuk 68% responden tetapi pengamal kesihatan am dan pakar kesakitan memainkan peranan penting kepada 7% dan 5% responden masing-masing. 

 

Sungguhpun demikian, kesilapan dalam diagnosis masih merupakan satu isu dengan 63% responden di Malaysia mendakwa mereka menerima diagnosis yang tidak betul sebelum yang terakhir. 

 

Sementara itu, Pengurus Negara Viatris Malaysia, Jeff Bote berkata, pihaknya komited dalam menyokong individu yang hidup dengan neuropati periferal diabetik yang menyakitkan kerana kesakitan kronik yang berkaitan memberikan impak yang signifikan terhadap kualiti kehidupan pesakit. 

 

"Oleh itu, kami meneruskan usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengesanan awal penyakit dan akses kepada rawatan yang betul serta mengambilkira keperluan dan cabaran yang masih dialami individu yang menghidapi keadaan ini," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Secara keseluruhannya, 58% pesakit di Malaysia yang mengambil bahagian dalam tinjauan ini mengambil ubatan preskripsi, yang mana 23% menyatakan mereka amat atau berasa berpuas hati secara keseluruhannya dengan rawatan yang diterima. - DagangNews.com