Gempa bumi di Taiwan diunjur beri kesan minimum kepada industri semikonduktor Malaysia | DagangNews Skip to main content

Gempa bumi di Taiwan diunjur beri kesan minimum kepada industri semikonduktor Malaysia

Antara bangunan di Hualien yang runtuh akibat gempa bumi yang melanda timur Taiwan. FOTO CNA / AFP
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - Gempa bumi yang melanda Taiwan baru-baru ini dijangka memberi kesan minimum kepada industri semikonduktor Malaysia, kata TA Securities.

 

Menurut Taiwan Semiconductor Manufacturing Company, faundri semikonduktor terbesar di dunia serta kemudahan tertentu telah digantung operasi buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

 

"Setakat ini, operasi fab secara amnya telah pulih dan jangkaan gangguan terhadap bekalan cip adalah minimum," katanya dalam satu nota kajian.

 

Pada 3 April 2024, negara itu dilanda gempa bumi dengan daerah Hualien di wilayah Timur Taiwan dilanda kejadian gempa bumi antara 7.2 dan 7.5 pada skala Richter, terburuk dalam tempoh 25 tahun. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan sektor semikonduktor di Malaysia akan mencatatkan peningkatan beransur-ansur disokong unjuran pemulihan permintaan global dan lonjakan perdagangan daripada strategi China Plus One.

 

Mereka mengekalkan pendirian 'overweight' terhadap sektor teknologi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Inari Amertron Bhd (TP: RM3.55) dan Elsoft Research Bhd (TP: RM0.59).

 

“Bagi Malaysian Pacific Industries Bhd, kami telah menyemak turun unjuran pendapatan FY24/FY25/FY26 masing-masing sebanyak 3.4%/18.7%/23.9%, selepas mengambil kira potensi kelembapan dalam jualan kenderaan penumpang elektrik di China.

 

"Selepas menyemak ramalan pendapatan dan melancarkan tahun asas penilaian kepada 2025, kami menyemak naik harga sasaran daripada RM32.35 kepada RM36.20 dan mengekalkan saranan'beli' ke atas kumpulan itu," katanya.

 

Bagaimanapun, sektor itu berdepan beberapa cabaran termasuk peningkatan ketegangan geopolitik yang akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta memberi gangguan terhadap rantaian bekalan selain jualan yang lebih lemah daripada jangkaan dan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.- DagangNews.com