Gentari, PLUS lancar stesen pengecas kenderaan elektrik dilengkapi BESS di Hentian Sebelah Behrang | DagangNews Skip to main content

Gentari, PLUS lancar stesen pengecas kenderaan elektrik dilengkapi BESS di Hentian Sebelah Behrang

Stesen pengecas kenderaan elektrik di Hentian Sebelah Behrang.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan penyedia rumusan tenaga bersih Gentari Sdn Bhd (Gentari) telah menjalin kerjasama untuk menyediakan stesen pengecas pantas kenderaan elektrik modular mudah alih di Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara).

 

Pengecas bersepadu yang dilengkapi sistem simpanan kuasa bateri (BESS) serta pengunaan tenaga solar itu merupakan yang pertama di negara ini dan akan dilancarkan secara berperingkat sehingga 2024, bermula dengan projek rintis di empat hentian.

 

Setiap lokasi akan mempunyai kuasa pengecasan DC sehingga 200 kW, dan empat poin pengecasan akan disediakan, menurut kenyataan media PLUS dan Gentari hari ini.

 

Empat hentian yang dicadangkan adalah Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Perak dan Hentian Sebelah Senawang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Negeri Sembilan.

 

Sementara itu, tiga lagi lokasi dalam perancangan iaitu di Hentian Sebelah Ajil (Arah Utara dan Arah Selatan) dan Kawasan Rehat & Rawat Perasing, yang terletak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Terengganu.

 

 

Stesen pengecas kenderaan elektrik di sepanjang lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)
Stesen pengecas kenderaan elektrik di sepanjang lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)

 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli berkata kerjasama dengan PLUS dan Lembaga Lebuhraya Malaysia merupakan langkah penting yang progresif untuk menggalakkan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, sambil memberi keutamaan kepada keperluan pelanggan.

 

“Secara langsung, ini akan meningkatkan keyakinan jarak dan hasrat orang ramai untuk beralih kepada EV. Gentari bersama rakan kongsi kami, EV Connection Sdn. Bhd. (EVC) amat teruja dengan kerjasama ini untuk memperkenalkan stesen pengecas pantas kenderaan elektrik modular mudah alih.

 

“Inisiatif perintis ini menggabungkan penggunaan inovatif sistem BESS dan tenaga solar, dan kami berharap untuk terus mengorak langkah ke arah masa hadapan yang lebih lestari,” ujar beliau.

 

 

Wakil dari Gentari, PLUS dan EVC selepas majlis pelancaran stesen pengecas pantas kenderaan elektrik modular mudah alih di Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara).
Wakil dari Gentari, PLUS dan EVC selepas majlis pelancaran stesen pengecas pantas kenderaan elektrik modular mudah alih di Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara).

 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar menekankan komitmen syarikat itu untuk menyokong dan menyumbang kepada agenda kelestarian negara.

 

“Kami bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan pemain industri utama bagi mewujudkan pembangunan infrastruktur pelan hala tuju stesen pengecas EV, di mana kami menyasarkan untuk memudahkan pemasangan 100 stesen pengecas EV DCFC di seluruh lebuh raya kami menjelang 2025. Ini mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk rakyat beralih ke EV,” katanya.

 

Nik Airina berkata kerjasama dengan Gentari merupakan salah satu pelan strategik PLUS untuk mempercepatkan penyediaan kemudahan pengecasan EV yang boleh dipercayai, memangkin kejayaan pelaksanaan pelan tindakan dan rancangan nasional dalam menyokong Malaysia untuk beralih kepada negara neutral karbon menjelang 2050.  - DagangNews.com