Genting HK dilapor peroleh €193 juta bantuan dari Jerman | DagangNews Skip to main content

Genting HK dilapor peroleh €193 juta bantuan dari Jerman

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Syarikat pelayaran terbesar di Asia, Genting Hong Kong (Genting HK) bakal memperoleh 193 juta (anggaran RM941.98 juta) dari Jerman untuk terus bertahan. 

Ini dapat dilakukan menerusi pembayaran kepada pengendali Star Cruises, Dream Cruises dan Crystal Cruises yang akan membantu Genting HK meneruskan kerja di pekarangan kapalnya di timur laut Jerman, dikelompokkan di bawah MV Werften, sekurang-kurangnya sehingga Mac.

Kami telah berjaya mencapai kemajuan. Kerajaan persekutuan sedang menyelamatkan MV Werften,” kata Menteri Ekonomi Mecklenburg-West Pomerania, Harry Glave seperti dilaporkan Nikkei Asia, semalam.

Menurut laporan itu, Genting HK telah memohon bantuan sebanyak €570 juta dari dana kestabilan COVID-19 Jerman yang merupakan permintaan terbesar oleh syarikat asing.

Ketika ini, kelulusan jumlah penuh permohonan itu bergantung kepada penilaian ke atas Genting HK dari segi keseluruhan aspek.

Sebelum ini, Jerman mewujudkan dana itu untuk mengekalkan pekerjaan ketika pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, lapor Nikkei Asia, pembayaran bantuan kepada syarikat asing seperti Genting HK mencetuskan kontroversi, yang mencerminkan ketakutan bahawa serahan pembayaran cukai kepada pelabur asing akan mengalir ke luar negara daripada menguntungkan pekerja Jerman.

Sebahagian daripada rasional awal penubuhan dana tersebut adalah untuk menjadikan syarikat Jerman yang kekurangan wang tidak mudah dibeli oleh pesaing Asia.

Keputusan bantuan kerajaan amat sukar apabila melibatkan syarikat induk asing, memandangkan tidak mudah untuk campur tangan dalam pengurusan tunai syarikat induk asing bagi memastikan dana tidak mengalir ke luar negara,” kata Ahli parlimen Jerman dari parti pembangkang, Otto Fricke kepada Nikkei Asia. 

Genting HK telah membeli MV Werften pada tahun 2016 ketika kemuncak pembangunan kapal persiaran, tetapi sektor itu antara yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pada Ogos lalu, Genting HK membekukan pembayaran kepada pemberi pinjaman sebagai langkah penyusunan semula pembayaran hutang. - DagangNews.com