George Kent lupus 50% kepentingan dalam MRCBGK bernilai RM53 juta | DagangNews Skip to main content

George Kent lupus 50% kepentingan dalam MRCBGK bernilai RM53 juta

 

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - George Kent (Malaysia) Bhd. melupuskan 50% ekuiti yang mewakili 5 juta saham dalam syarikat usaha sama antara Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB)-George Kent Sdn. Bhd. (MRCBGK) membabitkan pertimbangan tunai berjumlah RM53 juta. 

 

Saham biasa itu dimiliki anak syarikat milik penuh George Kent menerusi George Kent Rail Sdn. Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

"Syarikat menerusi surat bertarikh 28 September 2021 menerima tawaran MRCB untuk membeli kesemua 5 juta saham biasa yang dimiliki George Kent Rail dengan pertimbangan tunai RM53 juta," katanya. 

 

Pada 14 September lalu, kumpulan menerima surat tawaran daripada MRCB untuk membeli kesemua saham George Kent Rail dan pada masa membuat tawaran tanpa syarat untuk menjual kesemua 5 juta saham biasa yang dimiliki MRCB Builders Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh MRCB dalam MRCBGK pada harga RM53 juta secara tunai. 

 

MRCBGK adalah syarika sendirian berhad yang diperbadankan pada 17 September 2015 sebagai syarikat usaha sama tunggal diperbadankan di bawah terma perjanjian pemegang saham (SHA) bertarikh 8 Jun 2015 antara MRCB dan George Kent untuk menjalankan projek Transit Aliran Ringan (LRT3).

 

Jumlah modal saham terbitan dan berbayar MRCBGK sepenuhnya adalah RM10 juta terdiri daripada 10 juta saham biasa, yang mana MRCB Builders memiliki 5 juta saham (50%) dan selebihnya dimiliki George Kent Rail.

 

George Kent berkata, hasil tunai daripada RM53 juta itu akan digunakan sebagai modal kerja bagi kumpulan pada 31 Mac 2022. 

 

"Pertimbangan pelupusan ini secara tunai adalah peluang kepada George Kent untuk menambah nilai dan menjana kewangan daripada pelaburan dalam MRCBGK," jelasnya.

 

Kumpulan menjangkakan langkah ini dapat diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan surat tawaran pada 27 Oktober 2021. - DagangNews.com