Oleh Zufazlin Baharuddin dan Karina Imran
KUALA LUMPUR 5 April - Bantuan yang disediakan menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS Mikro) yang menjadi asas dasar kepada ekonomi negara.
GKP, yang bertujuan membantu PKS Mikro yang terkesan akibat daripada pandemik COVID-19, diperkenalkan semasa pusingan pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas; dan setakat ini geran itu telah membantu 900,000 PKS Mikro dengan jumlah peruntukan RM3.58 bilion.
Bantuan itu diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan dalam kalangan perniagaan kecil terutamanya berkaitan dengan modal kerja seperti untuk menambah semula inventori, membeli bahan mentah dan meningkatkan simpanan tunai.
Bantuan kewangan sekali itu bermula dengan GKP 1.0 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), diikuti GKP 2.0, GKP Plus di bawaj Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan GKP 3.0 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).
PKS Mikro menerima pembayaran sekali sebanyak RM3,000 setiap satu di bawah GKP 1.0 dan GKP 2.0. Bagi GKP Plus, semua penerima GKP 1.0 dan GKP 2.0 di 12 negeri di bawah PKP yang dilaksanakan pada Januari dan Februari tahun ini akan memperoleh RM1,000 manakala PKS Mikro di negeri-negeri yang bukan berada di bawah PKP menerima RM500. Sementara itu, PKS Mikro yang tidak menerima bantuan sebelum ini akan mendapat RM1,000 di bawah GKP 3.0.
Langkah untuk merapatkan jurang
Profesor Ekonomi daripada Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata bantuan kecil itu merupakan cerminan bahawa kerajaan terus kekal menyokong PKS Mikro semasa fasa pemulihan pada 2021, susulan pelbagai bantuan kewangan yang disediakan di bawah pakej COVID-19 sebelum ini, pada tahun lepas.
Bantuan itu merupakan langkah merapatkan jurang yang amat diperlukan kerana pemulihan penuh bagi PKS Mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hanya akan berlaku apabila kedua-dua ekonomi domestik dan global pulih sepenuhnya, katanya.
Dr Mohammad Tawk Yaakub, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaysia berkata, meskipun bantuan GKP dilihat sebagai kecil, namun bantuan yang berterusan membawa impak kepada pemulihan rantaian negara, walaupun secara perlahan-lahan.
“Saya yakin bantuan GKP benar-benar dapat membantu PKS Mikro dan menghalang hutang mereka daripada menggunung tinggi kerana mereka mendapat modal tambahan.
“Semua sektor berdepan dengan masalah hutang dan sekiranya kerajaan tidak memberikan bantuan, PKS akan terus terjebak lebih jauh dalam krisis ekonomi yang menjejaskan bukan sahaja negara kita malahan seluruh dunia,” katanya. Oleh itu, katanya, kerajaan perlu terus membantu dan memperkasakan PKS dengan lebih agresif bagi tempoh jangka panjang.
Pengerusi Yayasan Usahawan Negara Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata adalah lebih baik sekiranya bantuan sekali ini dapat diberikan secara berterusan sehingga pandemik COVID-19 berakhir, sekurang-kurangnya bagi tempoh setahun lagi.
“Barangkali kerajaan boleh membantu dalam 40 peratus daripada kos operasi bagi memastikan PKS Mikro, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar akan dapat mengekalkan perniagaan mereka masing-masing,” katanya.
Perubahan adalah berterusan
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun bantuan yang diberikan kerajaan itu adalah tepat pada masanya, namun ia bantuan untuk tempoh jangka pendek.
“Landskap perniagaan terus berubah dengan pantas dengan atau tanpa COVID-19. Jadi perniagaan perlu dapat menerima penyelesaian baharu dan memahami keperluan dan kehendak pelanggan mereka untuk berjaya bagi tempoh jangka panjang,” katanya.
Justeru, katanya, perniagaan perlu mengkaji semula strategi perniagaan mereka dan bagaimana mereka boleh mengekalkan model perniagaan semasa mereka.
“Sekiranya terdapat jurang, terutamanya dalam kemahiran dan pengetahuan, menghadiri kursus yang berkaitan adalah perkara yang paling wajar dilakukan,” katanya. -- BERNAMA