GIIB : Juruaudit luar tidak menimbulkan pendapat buruk mengenai penjualan yang didakwa tidak wujud | DagangNews Skip to main content

GIIB : Juruaudit luar tidak menimbulkan pendapat buruk mengenai penjualan yang didakwa tidak wujud

KUALA LUMPUR 17 Jan - GIIB Holdings Bhd., yang berhadapan dengan pertuduhan terhadap dua pengarahnya ekoran dakwaan penipuan juruaudit luar berhubung penjualan mesin yang dikatakan tidak wujud menjelaskan, juruaudit tersebut tidak menimbulkan sebarang keraguan terhadap perkara tersebut.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, GIIB berkata, syarikat Grant Thornton Malaysia PLT juga tidak membangkitkan kesahihan mana-mana dokumen sokongan yang diberikan berhubung perjanjian tersebut kepada jawatankuasa audit dan pengurusan risiko (ARMC) kumpulan tersebut.

 

Menurutnya, siasatan forensik yang telah dilakukan pada tahun lalu, selepas ketua pegawai eksekutif merangkap pengerusi eksekutif, Tai Boon Wee dan pengarah eksekutif, Wong Ping Kiong direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah merumuskan tiada sebarang salah laku.

 

“Di atas nasihat ARMC, syarikat melantik audit forensik bebas yang telah merumuskan pengarah-pengarah tersebut dan syarikat tidak melakukan penipuan dan salah laku,” katanya.

 

Selepas bekerjasama dengan SPRM semasa direman, tiada siasatan lanjut dilakukan sehingga kedua-dua syarikat dan pengarah diminta untuk hadir di mahkamah pada 13 Januari 2023.

 

GIIB menambah dua pengarah itu 'akan memberi penjelasan bertulis' kepada lembaga pengarah syarikat berkenaan dakwaan-dakwaan tersebut untuk pertimbangan dan tindakan lanjut, jika ada.

 

Ping Kiong dan Boon Wee telah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi dokumen palsu kepada Grant Thorton berhubung penjualan mesin bernilai RM2.95 juta yang tidak wujud.

 

Ping Kiong berhadapan dengan empat pertuduhan pemberian dokumen palsu, manakala Tai di atas pertuduhan bersubahat dengan Ping Kiong. Mereka didakwa mengikut Akta SPRM 2009. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah. - DagangNews.com