GKP Tambahan: Kemas kini maklumat akaun bank jika berstatus ‘Gagal Kredit' | DagangNews Skip to main content

GKP Tambahan: Kemas kini maklumat akaun bank jika berstatus ‘Gagal Kredit'

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Penerima Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang berstatus ‘Gagal Kredit’ dikehendaki untuk mengemas kini maklumat akaun bank dengan segera bagi membolehkan urusan pembayaran semula dilakukan.

 

Urusan pengemaskinian maklumat akaun bank ini boleh dibuat mulai 5 Mei sehingga 19 Mei 2021, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini.

 

“Penerima GKP hendaklah memastikan akaun bank yang dikemas kini adalah, 4.1 : akaun yang aktif; dan 4.2: menggunakan nombor akaun simpanan peribadi atau nombor akaun semasa peribadi.

 

“Penggunaan selain daripada jenis akaun bank seperti pada perenggan 4.1 dan 4.2 di atas tidak akan diterima.

 

“Penerima juga digalakkan membuka akaun bank baharu (Akaun Bank Simpanan peribadi penerima GKP dan mengemas kini di portal GKP menggunakan nombor akaun baharu berkenaan bagi mengelakkan masalah gagal kredit berulang,” jelas LHDN. 

 

Tambah agensi itu, tarikh pembayaran semula GKP Tambahan (PERMAI) ke akaun bank yang telah dikemas kini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

 

Sementara itu, bagi penerima GKP Tambahan yang masih belum menerima bayaran disarankan agar membuat semakan status pembayaran. 


Ini boleh dilakukan melalui portal GKP di pautan https://gkp.hasil.gov.my. - DagangNews.com