'Global Dream' jadi rebutan pelabur, antaranya bekas CEO Genting Hong Kong | DagangNews Skip to main content

'Global Dream' jadi rebutan pelabur, antaranya bekas CEO Genting Hong Kong

Insolvensi sementara MV Werften pada awal Januari lalu, terbukti menjadi titik perubahan bagi Genting Hong Kong.

KUALA LUMPUR 15 Feb - Bilionair, Tan Sri Lim Kok Thay, adalah antara pelabur yang berminat untuk membeli kapal mewah mega, Global Dream yang sedang dibina syarikat pembuat kapal Genting Hong Kong Ltd yang kini muflis, MV Werften, di Jerman, demikian menurut laporan Bloomberg hari ini. 

 

Laporan itu yang memetik Christoph Morgen, pentadbir insolvensi sementara yang dilantik oleh mahkamah Jerman untuk pembuat kapal berkenaan berkata, terdapat beberapa pihak yang serius berminat sedang berunding untuk membeli kapal yang belum siap itu.

 

Namun, Morgen optimis urus niaga itu boleh dicapai, tetapi ia dijangka tidak berlaku sehingga bulan depan kerana kes yang rumit, katanya semasa taklimat di limbungan kapal tertutup di Wismar, Jerman, semalam.

 

Insolvensi sementara MV Werften pada awal Januari lalu, terbukti menjadi titik perubahan bagi Genting Hong Kong, yang menjadi pengendali pelayaran terbesar di dunia mendapatkan bantuan mahkamah untuk melindungi asetnya semasa wabak apabila ia memfailkan petisyen penamatan beberapa hari kemudian.

 

Genting melaporkan kerugian berjumlah AS$1.7 bilion (RM7.12 bilion) pada Mei kerana wabak COVID-19 telah menjejaskan industri pelayaran.

 

 

Lim Kok Thay
Lim Kok Thay

 

 

Jelas laporan itu lagi, Kok Thay yang meletak jawatan sebagai pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Genting Hong Kong menghubungi Morten untuk menyatakan minatnya membeli kapal tersebut sejak bermulanya proses insolvensi sementara. 

 

Namun, pentadbir insolvensi itu berharap untuk mencari 'penyelesaian yang lebih baik untuk kapal itu' berbanding Kok Thay. 

 

"Tanggapan saya, beliau hanya berminat untuk membelinya jika tiada sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya pada harga murah dan mungkin boleh menyiapkan proses pembinaan kapal ini di tempat ini. 

 

"Tetapi, saya tidak pernah mendengar khabar dari beliau sejak itu. Saya berharap kita perlu bergantung kepadanya, kerana kini kita mempunyai minat yang lebih kuat daripada pelabur berpotensi yang lain," kata Morgen dalam laporan tersebut.

 

Kapal sepanjang 342 meter itu, yang digelar oleh Genting sebagai 'Global Dream' dan bakal menjadi kapal terbesar di dunia mengikut kapasiti penumpang, digembar-gemburkan akan memulakan era baharu kapal mega dalam pasaran pelayaran Asia yang semakin berkembang.

 

Ia mencapai kira-kira 72% siap apabila kerajaan Jerman dan Genting tidak dapat mencapai persetjuan pada Disember lalu mengenai rancangan untuk membiayai AS$620 juta bagi membantu menyiapkannya dan mengekalkan perniagaan limbungan kapal, menurut surat yang ditulis Kok Thay kepada pemiutang.

 

Bagaimanapun, menurut Bloomberg, jurucakap Genting Bhd. yang diketuai Kok Thay sebagai CEO, enggan mengulas mengenai perkara ini. Malah, wakil Genting Hong Kong juga tidak memberi tindak balas segera.

 

Secara dasarnya, Kok Thay masih memiliki 75% pegangan dalam Genting Hong Kong dan mengetuai perniagaan Genting yang lain, walaupun tiada pegangan saham bersilang.

 

Kok Thay meletakkan jawatan dalam Genting Hong Kong berkuat kuasa 21 Januari lalu, hanya beberapa hari selepas syarikat itu memfailkan penggulungan perniagaannya yang menjadi keruntuhan terbesar sebuah syarikat pengendali kapal persiaran sejak pandemik bermula.

 

Beliau memulakan perniagaan feri persiaran dan perjudian atas kapal di Hong Kong pada 1990-an dan menjadikannya salah satu pengendali kapal persiaran terbesar di Asia.

 

Ia hasil minatnya yang mendalam, selain salah satu cara mempelbagaikan perniagaan kasino yang dibina oleh bapanya, Tan Sri Lim Goh Tong, di Malaysia. - DagangNews.com