Glomac, Maybank Islamic sedia penyelesaian pembiayaan rumah HouzKEY | DagangNews Skip to main content

Glomac, Maybank Islamic sedia penyelesaian pembiayaan rumah HouzKEY

HouzKEY Glomac, Maybank Islamik

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Syarikat pemaju hartanah, Glomac Berhad (Glomac) menjalin kerjasama dengan Maybank Islamic Bhd.  untuk menyediakan lebih banyak faedah kepada pembeli rumah melalui penyelesaian pembiayaan rumah HouzKEY.

Ketua Pegawai Operasi Glomac, Zulkifly Garib berkata, HouzKEY adalah peluang menarik bagi pihaknya untuk
menyampaikan kepada prospek suatu lagi kaedah penyelesaian pemilikan hartanah selain memenuhi kehendak populasi yang lebih besar.

“Terutama kepada pemilik rumah pertama, kami yakin kolaborasi Bersama Maybank Islamic ini dapat membantu menjadikan pengalaman pertama memiliki rumah mereka lebih bermakna.

"Glomac juga yakin program tersebut akan menjadikan pengalaman kepemilikan rumah yang menarik bagi para pelanggan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara projek yang termasuk dalam program HouzKEY ini adalah projek terkini Glomac di Petaling Jaya dan Johor, iaitu pangsapuri 121 Residences, Plaza @ Kelana Jaya dan perumahan di Saujana Jaya, Kulai.

Dengan HouzKEY Glomac-Maybank Islamic, pembeli rumah memperoleh fleksibiliti dan kecekapan aliran tunai yang jauh lebih besar dalam perjalanan mereka memiliki rumah.

 

Antara faedah HouzKEY Maybank Islamic kepada pelanggan termasuk:

  1. Pembiayaan 100%; dapatkan pembiayaan sepenuhnya tanpa memerlukan wang pendahuluan. Hanya deposit (yang boleh dikembalikan) sebanyak 3 bulan diperlukan.
  2. Tiada pembayaran semasa tempoh pembinaan; Maybank Islamic membantu membiayai kos semasa pembinaan kediaman.
  3. Bayaran bulanan terendah; nikmati pembayaran bulanan terendah dengan kadar terbaik.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Real Estate Ventures Maybank, Sally Lye berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan Glomac untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan tersebut.

“Dalam masa-masa yang mencabar ini, kami tetap komited dalam misi untuk memberi perkhidmatan kewangan yang lebih mesra pengguna.

"Melalui HouzKEY, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia kini dapat memiliki rumah impian mereka dengan memberikan pembiayaan 100%, tanpa pembayaran dalam tempoh pembinaan dan antara pembayaran bulanan terendah," katanya lagi. - DagangNews.com