Glomac raih jualan baharu berganda ketika PKP cecah RM50 juta  | DagangNews Skip to main content

Glomac raih jualan baharu berganda ketika PKP cecah RM50 juta 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Pada suku pertama tahun 2021 (1Q21), jualan baharu syarikat pemaju hartanah, Glomac Berhad mencatatkan nilai berganda kepada RM50 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian itu dipacu oleh permintaan berterusan bagi fasa-fasa kediaman Saujana Perdana di Sungai Buloh dan pangsapuri 121 Residences. 

Jelas Glomac, prestasi jualan itu walaupun dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), telah mendorong jualan belum dibil ke paras RM660 juta. 

“Prestasi jualan 1Q21  yang memuaskan ini telah dicapai berbekalkan campuran produk yang sesuai dan kekuatan projek pembangunan Glomac dan penekanan kukuh terhadap strategi pemasaran digital. 

“Meninjau suku-suku tahunan seterusnya, prestasi jualan dan kewangan Glomac dijangka dapat dikekalkan, dipacu oleh jualan belum dibil sebanyak RM660 juta dan penyambungan aktiviti pembinaan selepas PKP. 

“Tambahan lagi, kumpulan syarikat bercadang melancarkan lebih banyak projek baharu pada tahun kewangan 2021. Pelancaran baharu ini terdiri daripada projek kediaman pasaran pertengahan dan rumah mampu milik di Saujana Perdana di Sungai Buloh, Saujana KLIA di Sepang dan Saujana Jaya di Kulai, Johor,” kata Glomac dalam kenyataan akhbar prestasi kewangan syarikat pada 1Q21 yang belum diaudit. 

Kumpulan syarikat itu melaporkan pendapatan sebanyak RM46.9 juta manakala untung sebelum cukai meningkat sebanyak 10.8% kepada RM5.3 juta pada suku tahun yang dilaporkan. 

Jelas Glomac, hasil syarikat adalah lebih rendah daripada suku sama tahun lepas ekoran penggantungan kerja pembinaan ketika tempoh PKP. 

Bagaimanapun, keadaan diimbangi oleh penjimatan kos daripada pembinaan bagi Saujana KLIA, menghasilkan margin dan keuntungan lebih tinggi pada suku tahun yang dilaporkan.

“Sehingga 31 Julai 2020, lembaran imbangan (balance sheet) Glomac kekal kukuh dengan kedudukan tunai sebanyak RM171.2 juta. 

“Hutang bersih masih juga rendah iaitu pada tahap 0.28x berbanding dana pemegang saham berjumlah RM1.1 bilion. Aset bersih sesaham pula berada pada tahap RM1.42,” tambah Glomac. 

Ujar kumpulan syarikat itu, Glomac akan terus menjadualkan pelancaran baharunya secara strategik, memanfaatkan portfolio pembangunan kukuh dengan Nilai Pembangunan Kasar (NPK) dianggarkan berjumlah RM8 bilion yang bakal memacu prestasi syarikat pada tahun akan datang. - DagangNews.com