Go Hub dijangka kumpul modal RM37.51 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Go Hub dijangka kumpul modal RM37.51 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Majlis pelancaran prospektus Go Hub di ibu negara hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Jun - Go Hub Capital Berhad (Go Hub) yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 3 Julai 2024 menyasarkan untuk mengumpul RM37.51 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Sasaran itu adalah menerusi terbitan 107.18 juta saham baharu.

 

Pada harga IPO 35 sen sesaham, Go Hub akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM140 juta menjelang penyenaraiannya.

 

Go Hub merupakan penyedia penyelesaian IT pengangkutan di Malaysia merangkumi segmen bas dan rel. 

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong berkata, pelancaran prospektus hari ini membawa Go Hub selangkah lebih dekat ke arah menjadi entiti tersenarai di Pasaran ACE Bursa Securities.

 

"Penyenaraian Go Hub adalah selaras dengan rancangan dan strategi pertumbuhan untuk meningkatkan operasi kami, mengembangkan penawaran penyelesaian kami dan meluaskan jangkauan ke luar negara.

 

"Kami optimis tentang masa depan dan peluang IPO ini dibuka untuk syarikat kami," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Hasil daripada IPO akan diperuntukkan terutamanya kepada perluasan operasi perniagaan dan meningkatkan keupayaan operasi, membolehkan Go Hub meningkatkan keupayaan untuk memenuhi projek semasa dan memasuki pasaran baharu.

 

 

go hub
Tan Cherng Thong bersama Tan Meng Kim pada majlis pelancaran prospektus Go Hub hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Go Hub meterai taja jamin dengan UOB Kay Hian untuk IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Di samping itu, Go Hub juga akan menggunakannya untuk pembangunan berterusan bagi penawaran penyelesaian inovatif, pemasaran dan tujuan umum korporat untuk meningkatkan kecekapan operasi.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Pasaran Modal UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, Tan Meng Kim berkata, Go Hub berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran pada era transformasi digital. 

 

"Visi strategik Go Hub, digabungkan dengan kehebatan teknologi mereka, memastikan pertumbuhan berterusan dan kepimpinan mereka dalam sektor penyelesaian IT pengangkutan awam," jelasnya.

 

Go Hub telah menunjukkan pertumbuhan yang konsisten, disokong oleh kepakaran Kumpulan dalam membangun dan melaksanakan penyelesaian IT yang komprehensif untuk pengangkutan awam, termasuk sistem TOS, BOS dan Automated Fare Collection (AFC). 

 

UOB Kay Hian ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk Go Hub. - DagangNews.com