KUALA LUMPUR 22 Nov - Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.
Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg, parti itu telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
"Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.
"GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak hari ini.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memberi masa kepada pemimpin parti dan gabungan sehingga 2 petang hari ini untuk mencadangkan calon Perdana Menteri masing-masing. - DagangNews.com