Grab rai ‘hero tempatan’ dengan pembiayaan RM2.5j | DagangNews Skip to main content

Grab rai ‘hero tempatan’ dengan pembiayaan RM2.5j

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Bagi meraikan semangat rakyat Malaysia berdepan cabaran COVID-19 dan sempena Hari Kemerdekaan ke-63, Grab melancarkan ‘Grab Local Heroes’ yang menyaksikan peruntukan sehingga RM2.5 juta untuk membantu 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan bisnes persendirian. 

Insentif itu menawarkan ruangan iklan buat PKS dan bisnes persendirian di platform Grab untuk melonjakkan perniagaan mereka. 

Menerusi pendedahan tambahan itu, kesemua perniagaan berkenaan melihat jualan mereka meningkat sehingga 43% sejak inisiatif itu dilaksanakan. 

“Syarikat yang berbeza dalam GrabFood, GrabMart dan GrabPay menunjukkan kepelbagaian Malaysia dan senario usaha bisnes tempatan termasuk peniaga gerai dan kafe sehinggalah penjual ikan, dan pelbagai lagi.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, Grab juga menampung kos yang digunakan untuk menghasilkan iklan peribadi,” jelas Grab dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Grab juga telah memperkenalkan beberapa usaha lain bagi menyokong PKS menerusi platformnya termasuk menawarkan baucer RM120 buat pengguna yang berkongsi kisah mengenai perniagaan tempatan kegemaran di media sosial.

Grab juga menawarkan promosi eksklusif untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyokong peniaga di rumah dengan kod promo SAPOT31 untuk menikmati 31% masakan dari rumah dan produk-produk lain. 

 

Hassan Alsagoff
Hassan Alsagoff

 

Ketua Pemasaran Grab Malaysia, Hassan Alsagoff berkata, disebabkan perniagaan kecil sukar untuk mendapatkan pendedahan, Grab membantu mereka untuk memasarkan perniagaan menerusi platformnya. 

“Mereka telah menunjukkan usaha dan dedikasi dalam menghadapi cabaran dan kami ingin melaksanakan peranan kami dengan mengumpulkan rakyat Malaysia untuk bersatu dan memberi impak kepada kehidupan ‘hero tempatan’.

“Dengan berbuat demikian, kami berharap dapat membantu meningkatkan permintaan perniagaan dan memperluas jangkauan mereka kepada berjuta-juta pengguna Grab,” katanya.  - DagangNews.com