GrabPay DuitNow QR lebih mudah, pantas | DagangNews Skip to main content

GrabPay DuitNow QR lebih mudah, pantas

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - GrabPay, perkhidmatan e-dompet dalam aplikasi popular Grab, baru-baru ini telah melancarkan GrabPay DuitNow QR di seluruh negara.

 

Dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), DuitNow QR adalah Standard QR Kebangsaan Malaysia yang direka bagi menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai dan peralihan kepada ekonomi digital di seluruh negara menerusi penggunaan kod QR saling boleh kendali. 

 

DuitNow QR menawarkan satu kaedah pembayaran yang mudah dan selamat kepada para pengguna untuk pembelian di dalam kedai, dan memberi para peniaga akses kepada jutaan pengguna yang mengutamakan gaya hidup digital.

 

Kod QR kebangsaan ini akan memudahkan lagi para pengguna membeli-belah dengan selamat, mengurangkan sentuhan fizikal dan menjimatkan masa para pembeli.

 

 

Grabpay

 

Ketua GrabPay Grab Malaysia, Priyanka Madan berkata, di Grab, mereka melihat ada banyak peluang untuk menggalakkan semua perniagaan tanpa mengira saiz untuk melaksanakan proses pendigitalan dan menerima kaedah pembayaran digital. 

 

Katanya, pelaksanaan DuitNow QR ini tepat pada masanya berdasarkan peralihan ekonomi dan keperluan kritikal para pengguna serta peniaga baru-baru ini

 

"Sejak tahun lalu, kami telah mengalu-alukan penyertaan dari pelbagai jenis peniaga ke dalam platform Grab, daripada rantaian perniagaan kecil hinggalah perniagaan besar di seluruh negara  termasuk banyak jenama barangan pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Kod GrabPay DuitNow QR sangat mudah untuk digunakan. Pengguna GrabPay hanya perlu melancarkan aplikasi Grab, kemudian buka pengimbas QR dan imbas mana-mana kod DuitNow QR untuk membuat pembayaran. 

 

Dengan ciri-ciri Merchant Discovery, GrabRewards dan Save with Points Grab, para pengguna boleh mengenal pasti Peniaga Pilihan GrabPay, mengumpul mata dan menjimatkan wang dengan mudah dalam setiap urus niaga.

 

DuitNow QR adalah Standard QR Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan oleh PayNet di bawah Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) BNM. 

 

Dengan DuitNow QR, para pengguna boleh membuat pembayaran daripada mana-mana bank atau aplikasi mudah alih e-dompet yang mengambil bahagian, dan para peniaga hanya perlu memaparkan satu kod QR sahaja iaitu DuitNow QR bagi menerima pembayaran. 

 

Buat masa sekarang, terdapat 31 peserta yang menawarkan DuitNow QR, dengan lebih ramai lagi akan turut sama menyertainya tidak lama lagi. - DagangNews.com