Dua pesawah wakili Malaysia ke konvensyen perubahan iklim PBB di Azerbaijan | DagangNews Skip to main content

Dua pesawah wakili Malaysia ke konvensyen perubahan iklim PBB di Azerbaijan

Oleh Shamsiah Zulkafli

GURUN 13 Nov - Dua pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan, Kedah, bakal menerima pengalaman berharga apabila diberi peluang mengikuti Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Baku, Azerbaijan bermula 17 hingga 20 November 2024.

 

Dua pesawah tersebut iaitu Abdullah Mohamad, 58, dan Keria Saad, 60, akan diterbangkan hasil inisiatif dan kerjasama sebuah syarikat bioteknologi tempatan, Free The Seed Sdn. Bhd. (Free The Seed) yang berstatus MOSTI BioNexus.

 

Mereka berpeluang melihat sendiri inovasi serta usaha dijalankan di seluruh dunia yang akan dipamerkan pada konvensyen berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Free The Seed, P. Ramaness berkata, langkah untuk menaja sepenuhnya dua peserta ke konvensyen itu merupakan satu bentuk penghargaan kepada golongan pesawah, yang dianggap memainkan peranan penting untuk memelihara kelestarian alam.

 

"Konvensyen tersebut sememangnya menjadi tumpuan dunia dengan penglibatan lebih 150 negara membabitkan pelbagai pihak antaranya ketua-ketua kerajaan, pemimpin industri, aktivis alam sekitar serta masyarakat pribumi.

 

"Acara itu akan mendapat liputan daripada media seluruh dunia dan dianggarkan pengunjungnya mencecah antara 80,000 hingga 100,000 orang. Pada tahun lalu di Dubai, kehadiran pengunjung ke konvensyen itu adalah seramai 85,000 orang," katanya dalam sidang media kilang syarikat tersebut, pada Rabu.

 

Tambah Ramaness, kedua-dua peserta terpilih berpeluang memperoleh pengetahuan serta pengalaman dalam konvensyen berkenaan berkaitan isu iklim, kitaran ekonomi serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Pempamer dari seluruh dunia turut menyertai konvensyen itu. Kedua-dua pesawah tersebut boleh mendapatkan idea serta ilmu baharu bagi dikongsikan bersama rakan-rakan lain apabila pulang ke tanah air nanti," ujar beliau.

 

Katanya, beliau sebelum ini sudah lebih lima kali diberi peluang untuk berbuat demikian dan sentiasa mengimpikan untuk membawa golongan petani negara ini ke konvensyen tersebut, kerana menganggap mereka sebagai barisan hadapan yang memainkan peranan besar dalam menjaga kelestarian alam.

 

"Penyertaan mereka amat penting kerana bidang pertanian merupakan antara penyumbang terbesar kepada pemanasan global berikutan pengurusan sisa secara tidak teratur yang sering tidak diberi penekanan termasuk melalui pembakaran terbuka.

 

"Mengenangkan perkara itu, saya telah memohon kepada penganjur untuk membenarkan sekurang-kurangnya dua pesawah Malaysia ke sana. Permintaan itu kemudiannya diluluskan dan kami tidak berfikir panjang untuk menaja sepenuhnya perbelanjaan mereka," katanya.  

 

Sementara itu Abdullah yang juga Pengerusi PPK Pendang Selatan berkata, peluang itu hadir tanpa diduga dan dia amat teruja untuk menyertai konvensyen tersebut.

 

Katanya, beliau tidak sabar untuk mendalami ilmu baharu di konvensyen tersebut setelah beberapa tahun PPK Pendang Selatan menjalin kerjasama dengan Free The Seed dalam membekalkan jerami bagi menghasilkan produk biodegrasi yang diproses untuk dijadikan pembungkus makanan.

 

"Ketika ini kami memang menjalin kerjasama yang membawa manfaat besar kepada bidang pertanian dan alam sekitar. Jika dulu jerami padi dibakar secara terbuka selepas musim menuai, kini kami menjualnya kepada Free The Seed sejak 2018.

 

"Langkah itu tidak hanya menambah pendapatan petani, malah turut membawa kesan positif terhadap alam sekitar. Setelah agak lama terlibat dalam usaha ini, kami teruja untuk mengetahui insiatif-inisiatif lain yang dilakukan di negara-negara lain bagi tujuan sama dan perkara itu mungkin dapat dikongsi serta dipraktikkan bersama rakan-rakan pesawah lain di sini nanti," katanya. - DagangNews.com