Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov - Greatech Technology Bhd akan membangunkan sebuah kemudahan baharu, dengan keluasan binaan 265,000 kaki di atas tanah seluas 11.58 ekar yang baru diperoleh daripada Penang Development Corporation seperti yang diumumkan oleh Kumpulan pada hari Rabu minggu lalu.
Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, Greatech berkata kemudahan itu akan digunakan untuk menempatkan aktiviti reka bentuk dan pemasangan bernilai tinggi produk baharu untuk pasaran baru muncul iaitu sains hayat dan semikonduktor.
Ujarnya, pembinaan dijadualkan siap menjelang suku ketiga 2022.
"Bagi kemudahan ini, Kumpulan menyasarkan untuk mengambil 500 lagi pekerja baharu yang terdiri terutamanya 300 jurutera dan 200 pekerja pemasangan dan juruteknik, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,200 pekerja bagi Kumpulan menjelang pertengahan 2022," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Greatech, Kumpulan sentiasa memberi sumbangan kepada pertumbuhan di Pulau Pinang termasuk sumbangan tahunan kepada ekonomi tempatan sebanyak RM100 juta hingga RM120 juta yang dibuat untuk pembayaran gaji, pembelian tempatan dan aktiviti penyumberan luar.
"Kira-kira RM150 juta perbelanjaan pelaburan modal permulaan yang akan dibiayai secara dalaman akan ditanggung bagi tujuan pembinaan loji dan pengambilan tanah untuk kedua-dua BK IV dan BK III seperti yang diumumkan pada 13 Oktober 2021.
"Kumpulan berbangga menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Negeri Pulau Pinang untuk menarik pelaburan langsung tempatan dan asing yang ketara memandangkan kesan ekonomi yang teruk yang disebabkan oleh wabak itu, mengakibatkan gangguan perniagaan yang meluas dan ketara," katanya. -DagangNews.Com