Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Selepas menanggung kerugian bersih utama sepanjang tahun kewangan 2015 hingga 2019, GreenPacket Berhad diyakini mampu mencatatkan pertumbuhan positif menerusi usaha awan baharu dan pengembangan perniagaan digital.
Menurut CGS-CIMB Research, GreenPacket yakin perolehan syarikat mampu menunjukkan peningkatan menjelang tahun kewangan 2021.
Pasaran awan Malaysia akan memberikan 13% pendapatan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pada 2020 hingga 2024, menurut Analisis Mason.
Bagi memanfaatkannya, GreenPacket menembusi perniagaan pengkomputeran awan selepas menandatangani perjanjian dengan Tencent Cloud (TC) dalam menawarkan perkhidmatan berkenaan selama 10 tahun di Malaysia.
Syarikat itu menjangkakan projek tersebut bakal menyumbang sebanyak 30% hingga 40% terhadap pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dengan nilai kini bersih (NPV) sebanyak RM339 juta bagi tempoh 10 tahun.
“Selain itu, perniagaan teknologi kewangan (dalam Perkhidmatan Digital) GreenPacket merangkumi e-dompet (kiplePay), gerbang pembayaran dan dompet-sebagai-perkhidmatan. kiplePay telah memantapkan perkhidmatannya sebagai e-dompet terkemuka di sektor pendidikan tinggi awam tempatan (syer pasaran 60% pada Ogos 2020), yang dianggarkan mempunyai ukuran pasaran sebanyak RM5.8 bilion dari segi potensi perbelanjaan tahunan.
“Ia kini sedang meneroka peluang lebih jauh dengan Bank Islam dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.
Tambah CGS-CIMB, ekoran GreenPacket kini mencatatkan kerugian, oleh itu penilaian perolehan harga tidak boleh digunapakai.
“Ia kini didagangkan pada harga/jualan (P/S) tahun kewangan 2019 dan harga/nilai buku (P/BV) masing-masing 0.8x dan 1.8x.
“Bagaimanapun, kami mengambil maklum bahawa kedua-dua ukuran itu tidak menggambarkan penilaian GreenPacket, memandangkan P/S FY19 tidak mengambil kira jangkaan sumbangan hasil daripada usaha perniagaan awan dan pengembangan Perkhidmatan Digital,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com