GST tidak akan diperkenalkan semula dalam Belanjawan 2022, ramal CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

GST tidak akan diperkenalkan semula dalam Belanjawan 2022, ramal CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Kerajaan dijangka tidak akan memperkenalkan semula cukai regresif seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjelang pengumuman Belanjawan 2022 nanti.

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Lim Yee Ping berkata, dasar fiskal dan monetari Malaysia buat masa ini kekal tertumpu ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

 

“Ini menunjukkan bahawa inflasi dapat bertahan dengan baik hingga tahun 2022.

 

“Kami menjangkakan dasar monetari akan kekal akomodatif sehingga pertengahan 2022 untuk membantu pemulihan ekonomi dan mengunjurkan kadar faedah kembali normal hanya bermula pada separuh kedua 2022 (2H22),” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Baca : GST beri skop luas untuk kerajaan lebarkan hasil negara - Deloitte

 

Beliau sebelum itu mengulas mengenai prestasi Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menguncup 2.0% pada Ogos 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun lalu. 

 

Dalam pada itu, Malaysia juga menyaksikan Indeks Pelopor (IP) merosot 4.0% untuk merekodkan 105.0 mata pada Julai 2021 daripada 109.4 mata pada Julai 2020. 

 

Penyusutan 4.4 mata ini didorong terutamanya oleh penurunan dalam Bilangan Syarikat Baru Didaftar, dengan sejumlah 2,646 syarikat tempatan baharu yang didaftar pada Julai 2021 berbanding 5,522 syarikat pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Indeks Serentak (IS) sebagai proksi kepada prestasi aktiviti ekonomi semasa terus menunjukkan trend penurunan yang lebih tinggi tahun ke tahun, menyusut 5.2%.

 

Berdasarkan trend IP dan IS, firma penyelidikan, MIDF Research menjangkakan momentum pertumbuhan Malaysia dalam masa terdekat ini akan perlahan. 

 

Baca : IHP Ogos meningkat 2%, MIDF kekalkan unjuran inflasi tahun ini 

 

“Memandangkan penggunaan domestik dan operasi perniagaan terhad semasa 1H21, terdapat kemungkinan pertumbuhan itu akan kembali negatif pada suku ketiga 2021 (3Q21). 

 

“Namun, kelonggaran sekatan untuk individu yang lengkap vaksin dan peralihan negeri ke fasa seterusnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), kami mengunjurkan lonjakan semula momentum pertumbuhan ekonomi bermula 4Q21 dan seterusnya,” kata MIDF. - DagangNews.com