GT Lim dilantik Pengarah Urusan 3M | DagangNews Skip to main content

GT Lim dilantik Pengarah Urusan 3M

GT Lim

GT Lim

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Syarikat Sains global, 3M mengumumkan pelantikan GT Lim sebagai Pengarah Urusan baharu awal tahun ini.

Selain jawatan berkenaan, Lim turut menggalas peranan tambahan sebagai Ketua Operasi Jualan Rantau Asia Tenggara.

3M berkata, sebelum melantik Lim kepada jawatan baharu itu, beliau telah memegang jawatan sebagai Pengurus Besar bagi Kumpulan Perniagaan Pengangkutan dan Elektronik di 3M Malaysia Sdn. Bhd..

"Menerusi peranan kepimpinan yang baharu ini, GT Lim kini akan menjadi sebahagian daripada pasukan kepemimpinan di Asia Tenggara yang akan menjalankan tugas secara rapat dengan rakan-rakan sejawatnya merentasi seluruh rantau ini untuk menjayakan progres transformasi perniagaan, memangkin pertumbuhan dan mengecapi tahap operasi yang lebih efisien. 

"Sebagai Pengarah Urusan, GT Lim juga akan bertanggungjawab untuk reputasi jenama 3M serta pengurusan hubungan dengan pihak-pihak luar yang berkepentingan di Malaysia. 

"Beliau juga akan memupuk pembangunan bakat-bakat baharu dan penglibatan kakitangan, serta mengambil bahagian secara aktif dalam acara komuniti," jelas 3M dalam satu kenyataan hari ini.

 

GT Lim
GT Lim

 

Memegang mandat Ketua Operasi Jualan Rantau Asia Tenggara, beliau juga akan mengetuai bahagian Jualan Virtual Rantau Asia Tenggara (IS), Pengurusan Data Muka Pelanggan (CFDM), Pengurusan Hubungan Pelanggan (CRM), Titik Jualan (POS), Pelan Insentif Jualan (SIP), Sokongan Aplikasi Produk (PAS) dan Sokongan Jualan (SS).

Sementara itu, Lim memberitahu, beliau sudah bersedia dan teruja untuk menyahut cabaran bagi menerajui serta mentransformasikan kedudukan 3M di Malaysia. 

“Ini merupakan satu peluang yang benar-benar mengujakan bagi saya, yang diberi keupayaan untuk memanfaatkan kepakaran 3M dalam teknologi dan sains untuk menjana perubahan yang bermakna di negara ini. 

"Saya berhasrat untuk menggalas tanggungjawab ini bersama barisan peneraju serantau dan tempatan untuk membekalkan pencapaian yang konsisten, sepertimana yang dikecapi oleh kami (3M) selama ini," jelasnya.

Lim memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kimia dari Universiti Sains Malaysia
serta Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Teknologi Malaysia.

Lim juga akan terus berkhidmat di Malaysia dan menjalankan tugas secara rapat dengan Pengarah Urusan Asia Tenggara, Kevin McGuigan menerusi peranannya sebagai Pengarah Urusan 3M Malaysia. - DagangNews.com