GTI teroka kerjasama teknologi dengan MIT | DagangNews Skip to main content

GTI teroka kerjasama teknologi dengan MIT

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Sept - Entiti gabungan Graphjet Technology Sdn. Bhd. dan Energem Corp., sebuah syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC), yang dikenali di bawah simbol GTI menjalin kerjasama dengan Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat (AS), yang berada di tempat pertama dalam Kedudukan Universiti Dunia QS 2023.

 

GTI akan menjadi syarikat pertama dari Malaysia, bersama lebih daripada 240 syarikat terkemuka dunia seperti Boeing, Apple, BWM, Hyundai, Mitsubishi, Nissan dan Samsung.

 

Kerjasama itu memberi peluang kepada GTI bertemu dengan fakulti dan penyelidik terkemuka di MIT dan mengesahkan semula kedudukan perintis GTI dalam industri grafit dan graphene.

 

Pengarah Kanan MIT, Todd Glickman berkata, sebagai ahli MIT, GTI menyumbang kepada rangkaian amalan terbaik dunia bersama-sama ahli terkemuka dalam pelbagai bidang, serta dengan mudah menghubungkan keperluan antara perniagaan lain, berkongsi, belajar untuk maju bersama ke arah mencapai matlamat bersama.

 

"Kami berbesar hati mengalu-alukan ahli pertama kami dari Malaysia ke MIT. Ini menunjukkan peranan perintis GTI dan komitmennya untuk mempromosikan sektor industri teknologi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

graphene
Pengasas Bersama, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GTI, Aiden Lee Ping Wei (kiri) bersama Pengarah Program Perhubungan Industri (ILP) Institut Teknologi Massachusetts (MIT) Ph.D. Changjie Guo.

 

 

Graphjet ialah pengeluar graphene lapisan tunggal yang inovatif dan berpangkalan di Malaysia yang telah berjaya membangunkan teknologi dipatenkan yang akan mengubah kulit isirung sawit, sisa daripada pengeluaran isirung sawit, kepada graphene satu lapisan, pada kos yang jauh lebih rendah daripada pengeluaran semasa graphene.

 

Ia dijangka melengkapkan sasaran penyenaraiannya pada suku keempat ini menerusi penggabungan dan transaksi De-SPAC dengan Energem Corp, SPAC yang tersenarai di Nasdaq.

 

Antara manfaat utama daripada kerjasama itu termasuklah akses kepada penyelidik dan peneraju inovatif yang akan membantu GTI dalam menjalankan penyelidikan dan mempromosikan pembangunan teknologi dalam bidang seperti data besar, kereta, pembuatan, penjagaan kesihatan dan lain-lain. 

 

Selain itu, taklimat eksekutif peribadi yang disesuaikan ini juga membantu menghubungkan GTI dengan syarikat pemula dan syarikat yang dipacu teknologi yang menjadi ahli MIT.

 

Sementara itu, Pengasas Bersama, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GTI, Aiden Lee Ping Wei berkata, dengan menjadi ahli MIT, GTI berpeluang mendekati syarikat dan bakat terkemuka dalam industri, dan boleh bersama-sama mencari jalan untuk produk dan perkhidmatan berkelas tinggi.

 

"GTI menganggap teknologi sebagai kunci kejayaan. Kami sentiasa mencari peluang untuk berhubung dan bekerjasama dengan perniagaan dan rakan kongsi terkemuka dunia untuk membangunkan dan menggunakan teknologi terkini untuk membawa lebih banyak faedah kepada pelanggan kami," katanya. - DagangNews.com