Guna Revolusi Industri 5.0 tambah nilai daya saing pelancongan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Guna Revolusi Industri 5.0 tambah nilai daya saing pelancongan Malaysia

Satu daripada cara untuk meningkatkan nilai daya saing industri pelancongan melalui IR 5.0 ialah dengan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem permintaan perjalanan. - Gambar Ramzi Bezzoudji
Oleh Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan; Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid dan Nurul Fathihin Mohd Noor Shah

INDUSTRI pelancongan di Malaysia telah mengalami cabaran besar akibat pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020. Namun, dengan peluang daripada Revolusi Perindustrian 5.0 (IR 5.0), terdapat kemungkinan terbuka luas untuk meningkatkan daya saing sektor pelancongan di Malaysia.

 

Perkembangan pesat dalam teknologi IR 5.0 akan membantu meningkatkan pengalaman perjalanan pelancong serta meningkatkan kecekapan operasi industri pelancongan, ditambah pula dengan jangkaan ketibaan lebih 25 juta pengembara di Malaysia menjelang 2023, menandakan pemulihan menggalakkan industri pelancongan negara.

 

Menurut data Kementerian Pelancongan, jumlah pelancong yang tiba di Malaysia akan mencecah sekitar 15 juta pada 2021, menunjukkan pemulihan yang jelas daripada tahun-tahun mencabar sebelumnya.

 

Unjuran untuk 2023 menunjukkan peningkatan ketara dengan lebih 25 juta pelancong dijangka melawat negara ini, mengesahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

 

Namun, untuk terus berdaya saing dalam era teknologi moden, industri pelancongan perlu meningkatkan daya saingnya dengan mengguna pakai Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0), yang dianggap mampu meningkatkan pengalaman pelancong dan mengurangkan kos operasi.

 

Revolusi Perindustrian 5.0 (IR 5.0) mengubah cara kita berinteraksi dengan teknologi.

 

Lebih daripada sekadar mengautomasikan operasi perindustrian, IR 5.0 bertujuan untuk menyepadukan dan menghubungkan teknologi seperti Internet Benda (IoT), mesin pembelajaran, pengkomputeran awan, sistem robotik, analitik data besar dan sistem imersif seperti realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) dengan manusia.


 

irsyad

 


Berbeza dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), IR 5.0 menekankan kekuatan pengalaman manusia dalam menjalankan tugas yang memerlukan kreativiti dan keupayaan pemikiran manusia yang tidak boleh digantikan dengan teknologi.

 

Perbezaannya terletak pada kerjasama antara pengalaman manusia dan teknologi untuk mencapai kejayaan dalam pekerjaan dan industri.

 

Berbanding IR 4.0 yang menekankan penggunaan teknologi untuk meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti, dapat dilihat IR 5.0 menekankan kerjasama manusia dan teknologi untuk mencapai persekitaran kerja yang lebih baik.

 

IR 5.0 menggabungkan nilai-nilai seperti kreativiti, kepimpinan dan hubungan manusia dalam pembangunan industri terutamanya industri pelancongan. Dalam konteks industri pelancongan, IR 5.0 berpotensi untuk meningkatkan pengalaman pelancong, meningkatkan kualiti produk perjalanan dan meningkatkan kecekapan operasi industri pelancongan.

 

Satu daripada cara untuk meningkatkan nilai daya saing industri pelancongan melalui IR 5.0 ialah dengan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem permintaan perjalanan.

 

AI boleh digunakan untuk menganalisis corak permintaan pelancong, memberikan pengesyoran destinasi pelancongan yang sesuai berdasarkan minat dan keperluan aktiviti pelancong, dan juga meningkatkan pengalaman pelancong secara keseluruhan.

 

Kelebihan pengaplikasian kecerdasan buatan (AI) ialah kemampuannya mengumpulkan data dari pelbagai sumber, menganalisisnya dan memberikan cadangan serta pengalaman pelancongan yang telah dipersonalisasikan secara individu bagi keperluan setiap pelancong. Dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) ianya dapat membantu memberikan cadangan tempat lawatan, tempat makanan atau aktiviti yang bersesuaian dengan kegemaran mereka.

 

Selain itu, penggunaan teknologi IoT (Internet Benda) boleh meningkatkan pengalaman yang inovatif kepada pelancong, dengan menyediakan maklumat informasi mengenai tempat-tempat sejarah dan cerita unik tentang sesuatu tempat melalui penggunaan aplikasi seperti telefon pintar.

 

Teknologi ini juga boleh memberikan maklumat tambahan yang tentang destinasi yang mereka lawati seperti pemantauan cuaca dan juga tahap kebisingan secara masa sebenar di destinasi pelancongan yang mana ianya membolehkan pelancong untuk mengatur perjalanan mereka ke sesuatu destinasi.


 

parafrasa

 


Selain itu, pengalaman imersif AR dan VR yang menggabungkan antara dunia realiti dan teknologi telah menjadi satu trend yang baru membangun dalam industri pelancongan di Malaysia.

 

Penggunaan teknologi ini memberikan pengalaman baru yang lebih interaktif dan mendidik pelancong dengan menyediakan informasi tambahan.

 

Penggunaan aplikasi seperti ini di destinasi bersejarah seperti muzium, bangunkan bersejarah atau destinasi warisan budaya yang lain dapat memperkayakan pengalaman pelancong dengan pengalaman eksplorasi menggunakan objek 3d yang lebih terperinci atau video yang menjelaskan konteks sesuatu objek artifak atau tempat tersebut dengan lebih terperinci. Ini memberi pengalaman yang lebih tentang budaya dan warisan negara kita kepada pelancong luar.

 

Antara lain penggunaan IoT dan Analisis Data Besar juga dapat menambah baik operasi industri pelancongan dengan lebih memahami kehendak dan keperluan para pelancong yang hadir melalui pengumpulan data pelancong yang lebih tepat dan cepat.

 

Melalui data yang diperoleh, perancangan yang terperinci dapat dilaksanakan dan disusun agar menjadi lebih lancar dan meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan.

 

Selain dari itu penggunaan teknologi IR 5.0 ni juga dapat membantu menjimatkan masa bagi pengendalian operasi pelancongan terutama dalam proses perancangan dan penempahan bagi penginapan, aktiviti dan juga pengangkutan.

 

Dalam menghadapi era IR 5.0, adalah penting bagi penyedia perkhidmatan pelancongan untuk mengukuhkan kesediaan mereka untuk menghadapi perubahan dan menyesuaikan diri.

 

Oleh itu, pemain industri di peringkat tempatan perlu dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan untuk meningkatkan keupayaan industri pelancongan Malaysia.


 

parafrasa

 


Kesimpulannya, Revolusi Perindustrian 5.0 (IR 5.0) mempunyai potensi besar untuk meningkatkan keupayaan industri pelancongan di Malaysia.

 

Untuk meningkatkan daya saing, industri pelancongan di Malaysia perlu mengambil inisiatif dalam mengguna pakai teknologi IR 5.0 seperti IoT, AI, AR, dan Analitik Data Besar mengikut keperluan yang berkaitan.

 

Dengan berbuat demikian, ia akan mengukuhkan operasi perjalanan dan meningkatkan pengalaman pengembara yang akan berjaya dalam rangkaian global industri pelancongan. - DagangNews.com

 

Dr. Nurul Nadirah Binti Abu Hasan adalah Pensyarah Kanan Pengurusan dengan Pelancongan;  Dr. Afiqah Binti Mior Kamarulbaid adalah Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Nurul Fathihin Binti Mohd Noor Shah adalah Pensyarah Keselamatan dan Jaminan Maklumat, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Sains Islam Malaysia.