Guna SOSMA, AMLA, POCA terhadap ketua sindiket penyeludupan | DagangNews Skip to main content

Guna SOSMA, AMLA, POCA terhadap ketua sindiket penyeludupan

PASUKAN Maritim Malaysia menemukan bungkusan rokok seludup di dalam sebuah perahu di perairan Semporna, Sabah dalam gambar fail 2017.

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Undang-undang sedia ada boleh digunakan untuk membanteras kumpulan jenayah terancang, termasuk ketua-ketua organisasi jenayah yang mengaut keuntungan berbilion-bilion Ringgit hasil daripada penyeludupan rokok, menurut seorang kolumnis perundangan terkemuka hari ini.

 

R. Paneir Selvam, Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, dan Institut Jenayah dan Kriminologi mengulas perkara ini berikutan gesaan beberapa pihak supaya Kerajaan dan agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas terhadap penyeludup rokok dan ketua-ketua kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam perdagangan haram itu.

 

Menurutnya, Malaysia kini berada hampir dalam situasi cukup getir berhubung isu penyeludupan barangan dan kumpulan jenayah terancang, dan masalah ini hendaklah ditangani sebagai isu keselamatan negara.  

 

Merujuk satu kes, beliau berkata, pada Jun 2021, polis menyerbu sebuah gudang dan stor di Tasek Gelugor, Pulai Pinang, serta memberkas lima lelaki dan merampas 18.5 juta rokok seludup bernilai RM13.87 juta.

 

“Berdasarkan siasatan, rokok-rokok itu diseludup dari negara jiran menggunakan jalan laut dan pemindahan di tengah-tengah alut. Rokok seludup ini kemudiannya disimpan di gudang dan stor syarikat berdaftar sah.”

 

"Modus operandi mereka jelas menunjukkan tahap tertinggi komplot pelbagai negara dan organisasi yang banyak lapisan dengan sokongan kedua-dua pihak berkuasa tempatan dan luar negara. Oleh itu, penggunaan SOSMA, POCA dan AMLA adalah sangat relevan untuk menangani kes-kes sebegini,” tegas beliau.

 

Selvam menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 atau SOSMA diwujudkan sebagai langkah-langkah khas bagi kesalahan dalam soal keselamatan bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam. “Selepas 24 jam berikutan penangkapan, SOSMA membolehkan seseorang itu ditahan sehingga 28 hari.

 

selvam
R. Paneir Selvam

 

"Penahanan sebelum pendakwaan di mahkamah, secara khusus digunakan bagi mengumpul seberapa banyak maklumat dan bukti yang boleh digunakan di dalam perbicaraan dan sangat bersesuaian untuk menangani suspek yang mengancam keselamatan negara. Ia secara umumnya memberi masa secukupnya kepada penyiasat untuk melengkapkan siasatan mereka tanpa gangguan, yang malangnya pernah berlaku sebelum ini, mengakibatkan penjenayah itu melepaskan diri daripada diadili,” jelas beliau.

 

Akta Pembanterasan Jenayah 1959 (POCA) pula, memberi kuasa membanteras jenayah secara lebih berkesan di seluruh negara, selain kaedah mengawal anggota kongsi gelap atau pengganas, antaranya.

 

Selvam menjelaskan, "POCA memberi kuasa kepada polis untuk menangkap dan menahan seseorang itu sehingga 60 hari tanpa didakwa atau perbicaan. Tempoh 60 hari ini merangkumi penahanan 24 jam pertama, penambahan 21 hari dengan pernyataan bertulis ditandatangani oleh pegawai polis bukan berpangkat bawah dari Inspektor, dan penambahan 38 hari dengan pernyataan bertulis ditandatangani oleh pegawai polis bukan berpangkat bawah dari Asistan Superintendan.

 

"Selepas tempoh penahanan 60 hari, kes tahanan itu akan diperdengarkan oleh Lembaga Pembanterasan Jenayah, yang berkuasa untuk menjatuhkan hukuman maksimum penjara selama dua tahun.

 

Bagaimanapun, ia boleh dilanjutkan sekiranya Lembaga mengesahkan penahanan lanjut perlu dilakukan bagi melindungi keselamatan dan ketenteraman awam atau bagi membanteras jenayah,” kata Selvam.

 

Beliau menambah bahawa POCA adalah undang-undang yang ideal digunakan ke atas ketua penyeludupan yang pihak berkuasa sudah kenal pasti tetapi tiada apa-apa tindakan dibuat atas sebab-sebab tertentu. Ketua-ketua jenayah terancang ini adalah ancaman kepada keselamatan negara dan mengaut keuntungan daripada perdagangan haram yang lazimnya disalur pula untuk membiayai kegiatan penganas. Faktor-faktor ini menepati objektif dan keperluan POCA, uar beliau.

 

Akta Penggubahan Wang Haram, Anti Pembiayaan Pengganas dan Anti Hasil Kegiatan Haram 2001 (AMLA) mendefinisikan jenayah penggubahan wang haram dan pembiayaan terorisme bersama dengan langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mengelakkan penggubahan wang haram dan pembiayaan terorisme.

 

“AMLA memberikan agensi penguatkuasa undang-undang dan pendakwa raya kuasa menyiasat yang luas, termasuk keupayaan untuk membeku dan merampas harta-harta yang terlibat atau disyaki di dalam penggubahan wang haram atau kesalahan pembiayaan teroris, selain membolehkan mahkamah merampas harta yang diperoleh hasil daripada jenayah berat.”

 

"Mengikut Sekysen 4 Akta ini, bila didapati bersalah, seseorang yang melakukan kesalahan penggubahan wang haram berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil kegiatan haram atau berperanan penting di dalam kesalahan semasa pelanggaran dilakukan, atau lima juta ringgit, yang mana satu lebih tinggi.”

 

Selvam berkata, kumpulan jenayah terancang biasanya akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengubah wang haram yang diperoleh daripada kegiatan jenayah, dan AMLA akan membolehkan agensi berkaitan untuk membeku dan menyita harta-harta dengan matlamat merampasnya dibawah perintah mahkamah.

 

“Serang sindiket jenayah ini di tempat yang paling menyakitkan – kewangan mereka. Tanpa dana-dana, mereka tidak akan dapat merasuah sesiapa untuk meloloskan diri daripada kepungan pihak penguatkuasa undang-undang,” kata Selvam.

 

"Secara khusus, meskipun hakikatnya kita memiliki sebilangan agensi undang-undang dan penguatkuasaan memerangi penyeludupan rokok ke dalam negara ini, permasalahan ini nampaknya tidak dikawal dengan baik,” ujarnya.

 

"Krisis ekonomi dan pergolakan politik semasa akan memberikan penjenayah ini lebih banyak peluang untuk meluaskan cengkaman mereka di dalam perdagangan haram.

 

"Oleh itu, agensi kerajaan hendaklah berfikir di luar kotak untuk membangunkan strategi dan kaedah yang sewajarnya dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk menghukum kumpulan penjenayah terancang ini dan mereka yang membantu mereka, supaya menjadi peringatan kepada semua supaya tidak terbabit dalam jenayah seumpamanya di Malaysia,” kata Selvam. - DagangNews.com