Guna tempoh sebelum Parlimen bersidang untuk bermuafakat, stabilkan negara - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Guna tempoh sebelum Parlimen bersidang untuk bermuafakat, stabilkan negara - Mustapa

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

PUTRAJAYA 5 Ogos - Tempoh sebulan sebelum Parlimen bersidang harus digunakan sebaik mungkin untuk bermuafakat dan meletakkan negara dalam keadaan yang lebih stabil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

"Alhamdulillah, pengumuman Perdana Menteri semalam mengenai rancangan untuk mengadakan undi percaya di Parlimen pada September ini telah mententeramkan keadaan. Pengumuman tersebut diterima baik oleh sebahagian besar rakyat.

 

"Kekuatan utama Malaysia sejak merdeka ialah kestabilan politik yang telah membolehkan negara ini mencapai kejayaan yang membanggakan dalam pelbagai bidang.

 

"Untuk memastikan Malaysia terus mencatatkan kejayaan, kita memerlukan keamanan dan kestabilan politik. Tempoh sebulan sebelum Parlimen bersidang harus digunakan sebaik mungkin untuk bermuafakat dan meletakkan negara dalam keadaan yang lebih stabil," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Malaysia kata Mustapa, mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara maju kerana mempunyai pelbagai sumber dan modal insan yang berkualiti.

 

"Untuk mencapai matlamat sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu mengembleng seluruh tenaga dan buah fikiran mewakili pelbagai sektor, bagi menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang tidak pernah kita alami. 

 

"Salah satu prasyarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi ialah pelaburan  dalam dan luar negeri. Pelaburan adalah di antara pemangkin kepada pemulihan ekonomi yang dapat menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan meningkatkan eksport," ujar beliau.

 

Menurutnya, iklim pelaburan yang kukuh serta kestabilan politik akan memastikan Malaysia dapat terus menarik pelaburan dari dalam dan luar negara. 
 

"Oleh itu, seluruh rakyat khususnya pemimpin-pemimpin politik perlu mencari titik pertemuan dan kebersamaan di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri.

 

"Marilah kita bekerja sebagai satu pasukan demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak cucu kita," ujar beliau. - DagangNews.com