KUALA LUMPUR 5 Sept - Bank digital yang diterajui Grab, GX Bank Berhad (GXBank), terima kelulusan daripada Menteri Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan operasi berkuat kuasa 1 September 2023.
Ini menjadikannya yang pertama daripada lima pemohon lesen bank digital untuk menerima kelulusan tersebut lebih awal daripada tarikh akhir April 2024 yang ditetapkan oleh BNM.
GXBank adalah anak syarikat GXS Bank Pte Ltd, usaha sama bank digital antara Grab Holdings Ltd dan Singapore Telecommunications Ltd (Singtel), dan konsortium pelabur Malaysia yang lain, termasuk Kuok Group.
Bank tersebut akan memulakan pengujian beta aplikasinya, bermula dengan pekerjanya daripada GXBank, Grab dan Kuok Group, dan beransur-ansur melancarkan kepada kumpulan pengguna yang lebih luas.
GXBank, dengan lebih 200 pekerja Malaysia, akan diterajuk oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pei Si Lai, yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam perbankan pengguna dan komersial.
Si Lai berkata dengan berpegang pada warisan Grab dalam teknologi inovatif dan kemasukan ekonomi, syarikat itu berharap dapat mentakrifkan semula perbankan dan membentuk semula landskap kewangan Malaysia.
“Kerjasama kami dengan rakan kongsi konsortium seperti Kuok Group dan pemain industri lain akan membolehkan kami bekerjasama, memanfaatkan ekosistem masing-masing bagi memupuk Malaysia yang berdaya tahan dan inklusif dari segi kewangan, di mana tiada sesiapa ketinggalan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
GXBank turut melantik lembaga pengarah, yang diterajui oleh Datuk Zaiton Mohd Hassan yang membawa pengalaman lebih 30 tahun dalam perbankan, audit, pengurusan risiko dan fokus pada tadbir urus dan rangkuman kewangan.
Menzahirkan keterujaan lembaga pengarah untuk terlibat dalam perkembangan GXBank, Zaiton berkata bank itu berada di hadapan dalam landskap teknologi kewangan yang pantas berkembang di rantau ini.
“Dengan kekuatan semua rakan kongsi dan bank digital kami di Singapura dan Indonesia, GXBank bersedia menawarkan akses saksama kepada pengalaman perbankan yang inovatif dan transformasi.
“Kami berharap ini akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia berdikari dari segi kewangan, mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk diri mereka, keluarga dan negara,” tambahnya. - DagangNews.com