KUALA LUMPUR 2 Jan - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usahama Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang berjaya melangkaui kendalian 12,253,309 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu tahun pada 2024.
Pencapaian luar biasa ini mengatasi rekod terdahulu PTP yang mencatatkan kendalian 11.2 juta TEU pada 2021, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kontena yang terkemuka dan terbesar di Malaysia.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, prestasi ini merupakan refleksi terhadap peranan penting PTP dalam rantaian bekalan global.
“Pencapaian ini turut menjadi bukti dedikasi, komitmen dan kerja keras seluruh warga kerja PTP.
“Dengan mengendalikan jumlah kontena yang begitu besar dengan lancar, kami menyampaikan perkhidmatan secara konsisten kepada pelanggan dan rakan perniagaan, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu terminal kontena paling cekap dan sibuk di dunia,” kata beliau.
Berkongsi sentimen Pengerusinya, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, prestasi itu turut membuktikan kestabilan tahap produktiviti terminal, walaupun dalam keadaan kami mengalami peningkatan permintaan kendalian yang tinggi.
“Adalah menjadi keutamaan bagi kami untuk terus membantu pelanggan dalam mencapai reliabiliti jadual, terutamanya dalam persekitaran gangguan rantaian global masa kini, dan kami begitu berbangga kerana berjaya mengharungi cabaran ini tanpa sebarang kesesakan terminal.
“Matlamat kami adalah untuk mengekalkan momentum ini dan mencapai pencapaian yang lebih besar pada 2025 dan seterusnya.
“Kami telah membuat persediaan yang komprehensif bagi mendepani masa hadapan dengan memfokuskan bukan sahaja terhadap peningkatan aset pelabuhan dan peningkatan infrastruktur, tetapi juga terus fokus terhadap pemacuan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kami, mengukuhkan dasar keselamatan dan pemerkasaan strategi pendigitalan kami.
“Usaha ini memastikan penambahbaikan dan pengembangan berterusan kerana kami menjangkakan peningkatan ketara dalam jumlah kendalian pada tahun akan datang.
“Walaupun mendepani pelbagai cabaran, PTP mampu berdaya tahan melalui pemerkasaan aset sumber manusia, teknologi dan proses, serta keutamaan terhadap kepentingan keselamatan dan kepuasan pelanggan adalah asas kepada operasi perniagaan kami,” katanya.
Mark Hardiman turut melahirkan rasa terima kasihnya, dengan menyatakan, semua kejayaan PTP pada hari ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan pelanggan, rakan niaga, pemegang saham, dan yang paling penting, warga kerja PTP yang harus berbangga dengan apa yang telah mereka capai.
"Kendalian kontena ke-12 juta PTP telah direkodkan pada pukul 7.00 malam pada 23 Disember 2024, sekaligus meletakkan tanda aras baru kepada kecemerlangan operasi PTP sejak ia mula beroperasi pada tahun 2000," katanya. - DagangNews.com