Hack-A-Tech 2022 anjuran ASNB dan JDV tawar hadiah keseluruhan sehingga RM391,000 | DagangNews Skip to main content

Hack-A-Tech 2022 anjuran ASNB dan JDV tawar hadiah keseluruhan sehingga RM391,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Jewel Digital Ventures Sdn. Bhd. (JDV) melancarkan acara hackathon maya bersama, Hack-A-Tech 2022 anjuran bersama 1337 Ventures Sdn. Bhd. (1337 Ventures).

 

Hack-A-Tech 2022 adalah acara hackathon secara maya yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Oktober 2022, dengan tujuan untuk menggalakkan inovasi dan pembangunan perisian dalam teknologi kewangan (FinTech). 

 

Hari terakhir demo pada 29 Oktober 2022 akan memberi fokus kepada idea dan pembangunan FinTech.

 

Acara Hack-A-Tech 2022 akan mengetengahkan pemain-pemain utama FinTech dan rakan kongsi teknologi untuk bekerjasama dengan peserta-peserta. Cabaran hackathon ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu Trek Terbuka dan Trek Lanjutan.

 

Trek Terbuka adalah terbuka kepada jurutera, pereka produk, peserta hackathon kali pertama, pelajar, universiti atau makmal inovasi untuk menambah baik atau memperkenalkan fungsi dan ciri digital, serta penawaran produk baharu.

 

Trek Lanjutan pula terbuka kepada syarikat-syarikat pemula niaga (startup) yang berminat untuk menyepadukan dan mencipta bersama produk dan perkhidmatan baharu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman berkata, acara itu adalah platform yang menarik untuk mereka menggalakkan kerjasama antara rakan strategik dengan industri FinTech. 

 

 

asnb

 

 

"Kami akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan pelanggan yang terbaik dengan sokongan teknologi terkini yang menawarkan produk dan perkhidmatan yang sesuai bagi setiap pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Teknologi JDV, Azrul Rahim pula berkata, JDV mengutamakan inovasi sebagai teras kepada semua yang mereka lakukan kerana percaya pentingnya untuk berada satu langkah ke hadapan dan sentiasa bersedia. 

 

"Peneraju ekosistem memainkan peranan menyalur maklumat dan pengetahuan dalam membangunkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik di samping kami membangunkan teknologi canggih ini," katanya.

 

Menerusi acara ini, para peserta perlu menginovasikan lanskap FinTech dan berpeluang untuk memenangi hadiah keseluruhan sehingga RM391,000. 

 

Tiga pasukan teratas bagi kategori Trek Terbuka akan menerima RM10,000, RM5,000, and RM3,000. Manakala, tiga pasukan teratas bagi Trek Lanjutan berpeluang menerima geran sehingga RM100,000 setiap satu untuk mengembangkan lagi produk mereka. - DagangNews.com