Had siling jaminan SJPP ditingkatkan kepada RM56.5 bilion | DagangNews Skip to main content

Had siling jaminan SJPP ditingkatkan kepada RM56.5 bilion

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Had siling pembiayaan skim jaminan kerajaan ditingkatkan lagi kepada RM56.5 bilion. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut ditingkatkan sebanyak RM20 bilion berbanding had RM36.5 bilion yang diletakkan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) sebelum ini.

 

Menurutnya, langkah tersebut adalah untuk membantu sektor PKS kekal relevan dan berdaya saing.

 

"SJPP telahpun meningkatkan had siling pembiayaan skim jaminan kerajaan di bawah SJPP sebanyak RM10 bilion bagi tahun 2021 kepada RM36.5 bilion.

 

"Sehingga 24 Jun 2021, SJPP telah memberikan jaminan bagi pembiayaan bernilai RM33.4 bilion kepada lebih 45,000 buah syarikat. 

 

"Bagi terus menyokong sektor PKS mendapat kemudahan pembiayaan dan bangkit semula dalam fasa pemulihan, kerajaan akan meningkatkan lagi had siling jaminan di bawah SJPP sebanyak RM20 ringgit menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM56.5 bilion," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini. 

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga komited dalam menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS.

 

Sehingga kini, masih terdapat RM6.6 bilion baki sedia ada daripada keseluruhan RM25.1 bilion yang telah disediakan oleh BNM untuk manfaat pemohon baharu.

 

"Melalui pakej Pemulih hari ini, BNM bersetuju untuk menambah RM2 bilion lagi menjadikan baki dana ini berjumlah RM8.6 bilion.

 

"Diharapkan dana ini dapatlah memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan mereka," ujar beliau. - DagangNews.com