Hampiri RM4.55 berbanding dolar AS, MIDF Research yakin Ringgit terus kukuh kepada RM4.43 akhir 2024 | DagangNews Skip to main content

Hampiri RM4.55 berbanding dolar AS, MIDF Research yakin Ringgit terus kukuh kepada RM4.43 akhir 2024

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pengukuhan Ringgit baru-baru ini yang menghampiri paras RM4.55 berbanding AS$1 menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) menjadikannya salah satu mata wang serantau berprestasi terbaik. 

 

MIDF Research berkata, dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka terus lemah apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) semakin hampir untuk mengurangkan kadar faedah.

 

Katanya, Ringgit akan terus mendapat keuntungan daripada perbezaan faedah yang semakin mengecil kerana Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), seiring dengan kawalan inflasi yang kekal stabil di Malaysia.

 

Justeru, MIDF Research yakin Ringgit akan meningkat ke arah sasaran akhir sebanyak RM4.43 berbanding AS$1.

 

"Ringgit memadamkan kerugiannya dan meningkat sedikit sebanyak +0.1%ytd (sehingga akhir 24 Julai) dan kekal sebagai mata wang serantau berprestasi terbaik yang kami pantau.

 

 

"Ini menandakan pemulihan yang ketara daripada menjadi salah satu prestasi terburuk pada 2023, menunjukkan pemulihan yang menggalakkan daripada kedudukan terlebih jualnya tahun lalu.

 

"Sebaliknya, Rupiah Indonesia adalah antara yang mencatat prestasi paling teruk tahun ini, menjunam -5.3%ytd (sehingga akhir 24 Julai) selepas menjadi mata wang serantau berprestasi terbaik tahun lepas. Pergerakan YTD bagi Ringgit dan mata wang serantau lain mencadangkan pembetulan daripada kedudukan terlebih jual atau terlebih beli," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kadar tukaran mata wang BNM jam 9 pagi ini menunjukkan Ringgit berada pada paras RM4.569 berbanding AS$1.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Usaha Bank Negara, kerajaan bantu perkukuhkan nilai ringgit berbanding dolar AS - Gabenor

 

dolar
Nilai ringgit makin kukuh setelah tindakan kerajaan dan BNM. Gambar Alexander Grey

 

Menurut firma penyelidikan itu, asas pertumbuhan negara juga akan menyokong Ringgit untuk terus meningkat dengan anggaran awal menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku kedua 2024 berkembang pada 5.8%yoy (1QCY24: +4.2%yoy).

 

"Kadar pertumbuhan adalah +1%-mata lebih cepat daripada jangkaan kami dan pasaran. 

 

"Terdapat kemungkinan momentum pertumbuhan akan berterusan ke 2HCY24 seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan berterusan dalam Indeks Pelopor, yang meningkat sebanyak +3.8%yoy pada Mei-24 ​​(Apr-24: +4.5%yoy; 1QCY24: +2.6%yoy ).

 

"Sehubungan itu, kami meramalkan peningkatan berterusan dalam permintaan dalam negeri, di samping pemulihan dalam perdagangan luar, akan menyokong ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh pada 2024," jelasnya.

 

Selain itu, kata MIDF Research, lebihan akaun semasa yang mampan adalah satu lagi faktor factor yang akan menyokong peningkatan nilai Ringgit.

 

Katanya, sebagai negara pengeksport, permintaan terhadap Ringgit terus meningkat kerana saiz eksport melebihi import.

 

"Dalam 2QCY24, imbangan perdagangan barangan kekal dalam lebihan pada +RM32b (1QCY24: +RM34.1b), walaupun saiz lebihan adalah -42.7%yoy lebih rendah daripada +RM55.8b pada 2QCY23. 

 

"Memandangkan eksport dijangka terus bertambah baik dalam 2HCY24 berikutan permintaan luar yang semakin meningkat dan peningkatan penghantaran E&E, kami menjangkakan baki akaun semasa Malaysia akan kekal dalam lebihan," ujarnya.

 

Selain itu, kata fima tersebut, berikutan peningkatan dalam sektor pelancongan, pemulihan eksport perkhidmatan selanjutnya juga akan menyokong lebihan yang mampan dalam akaun semasa.- DagangNews.com