KOTA KINABALU 29 Mac – Sebuah Perpustakaan Mainan untuk kanak-kanak berkeperluan khas dikenali sebagai Handprints Toy Library & Resource Center (Handprints) dibuka di Lorong Pokok Saka, Dah Yeh Villa di sini sejak setahun lalu.
Perpustakaan tersebut, yang merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah dan yang ketiga di seluruh negara, memberikan sokongan dan bantuan kepada kanak-kanak yang didiagnosis dengan disleksia, autisme, Sindrom Down dan lain-lain dalam proses pembelajaran mereka.
Perpustakaan ini menyediakan koleksi mainan, permainan dan bahan permainan yang boleh dipinjamkan kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran supaya potensi pembelajaran mereka dapat dikembangkan sepenuhnya melalui kaedah bermain.
Selain itu, pihak Perpustakaan juga memberi khidmat nasihat kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa tentang kepentingan merawat kanak-kanak lebih awal bagi mencapai peluang pemulihan yang lebih baik.
Perpustakaan Mainan Malaysia Care & Pusat Sumber Ibu Bapa di Kuala Lumpur telah dimulakan pada 1982 apabila terdapat kekurangan perkhidmatan untuk kanak-kanak berkeperluan khas dalam kelewatan perkembangan atau masalah pembelajaran.
Mengikut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, sehingga bulan Oktober 2021, bilangan individu dengan Autisme yang didaftarkan di Sabah adalah sebanyak 16,619 orang.
Pentadbir Handprints, Isfenserra Deckson berkata, Handprints ditubuhkan bertujuan untuk menjadi `kampung dan komuniti’ di mana keluarga dengan kanak-kanak berkeperluan khas boleh mendapatkan sokongan, galakan dan pemerkasaan.
"Paling penting, Handprints dapat bekerjasama untuk mendidik dan mempersiakan anak mereka untuk masa depan mereka, berkembang menjadi individu yang berdikari dan boleh bergaul dalam masyarakat," katanya kepada DagangNews.com di sini.
Beliau berkata, Handprints pihaknya menyediakan lebih 1,000 jenis mainan dalam pelbagai kategori, bermula daripada rangsangan deria bayi kepada kemahiran motor kasar, koordinasi mata-tangan, permainan imaginatif dan sebagainya) serta bahan bacaan untuk ibu bapa, guru dan kanak-kanak berkeperluan khas.
Handprints juga kata beliau, turut menyediakan diagnosis kanak-kanak menggunakan Jadual Pemerhatian Diagnostik Autisme (ADOS-2).
Menurutnya, Handprints memainkan peranan tambahan sebagai pusat intervensi awal dan ibu bapa boleh mendaftarkan anak mereka sebagai ahli untuk menggunakan alat permainan serta kemudahan yang disediakan.
“Melalui bermain mainan ini, ia boleh membantu kanak-kanak mengembangkan integrasi deria dan kemahiran interaktif sosial mereka.
“Pada masa ini kami juga telah melibatkan pasukan kaunselor sukarela untuk bertemu dengan ibu bapa kanak-kanak istimewa, memberi nasihat dan sokongan kepada mereka,” katanya.
Isfenserra berkata, sempena Bulan Autisme Sedunia, Handprints akan mengadakan Hari Terbuka pada 23 April 2022 dari pukul 3 petang hingga 6 petang.
''Ini adalah masa yang sesuai pada hari Sabtu untuk membawa keluarga dan anak istimewa anda untuk datang melawat Handprints dan mengenali kami lebih lanjut.
''Ibu bapa kanak-kanak keperluan khas digalakkan menyertai aktiviti-aktiviti dan acara-acara yang diadakan di pusat ini,’’ kata beliau.
Untuk maklumat lanjut tentang Handprints, hubungi 016-4172298, atau e-mel [email protected], atau lawat laman Facebook rasmi: Handprints Toy Library dan Pusat Sumber. – DagangNews.com