Hanya 16 jemaah dibenarkan solat fardu di surau seluruh Selangor ekoran peningkatan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Hanya 16 jemaah dibenarkan solat fardu di surau seluruh Selangor ekoran peningkatan COVID-19

Surau Platinum al-Mawaddah di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. - Gambar oleh Muhammad Amzar B. Jailani


 

SHAH ALAM 19 Mei – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengehadkan jemaah di surau dan masjid antara 16 orang hingga 23 orang sahaja, berkuatkuasa hari ini, berikutan kebimbangan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

 

Kecuali Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri); Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Pengurusan yang dibenarkan 50 jemaah manakala kategori lain masjid iaitu masjid institusi dan kariah dihadkan kepada 23 jemaah. Manakala surau dihadkan kepaa 16 jemaah termasuk surau yang dibenar mengadakan solat Jumaat.

 

JAIS dalam surat pekeliling yang ditandatangani pengarahnya, Dato Mohd Shahzihan Ahmad juga menegaskan pekeliling bertarikh 11 Mei 2021 mengenai jemaah 50 orang terbatal.

 

Menurut JAIS, pihaknya sangat mengambil perhatian serius mengenai perkembangan terkini COVID-19 yang telah menular luas dalam komuniti, dengan penemuan klasifikasi varian-varian baru yang lebih pantas bergerak.

 

Katanya, statistik penularan di Selangor juga terus berada pada angka tertinggi dan mampu mencetuskan skala penularan lebih besar dan tidak terkawal di negeri ini, serta turut akan menggagalkan usaha kerajaan, khususnya agensi barisan hadapan dalam mendepani pandemik.

 

Sehubungan itu kata JAIS, pihaknya perlu mengambil langkah-langkah tegas bagi membendung wabak tersebut.

 

“Tambahan pula penularan kes tersebut turut melebar ke masjid dan surau walau pada hakikatnya ia berpunca daripada aktiviti jemaah atau pentadbir masjid atau surau, di sektor sosial lain.

 

“JAIS amat mengharapkan semua Pentadbir Masjid dan Surau terus bersabar dan tabah menghadapi situasi getir dan sukar ini serta mendokong usaha JAIS dalam melaksanakan ketetapn dari Ulil Amri yang kerap berubah disebabkan situasi semasa yang berlaku.

 

“Moga kesabaran ini akan turut membantu agensi barisan hadapan dalam memerangi pandemik ini,” kata JAIS.

 

JAISJAISJAIS

Ketetapan terbaru ini berkuatkuasa 19 Mei 2021 mulai solat fardu Maghrib sehingga suatu ketetapan baru dikeluarkan JAIS dari semasa ke semasa. - DagangNews.com