Hap Seng Plantations yakin kurangkan kos pengeluaran MSM sebanyak RM2,500 bagi baki FY23, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Hap Seng Plantations yakin kurangkan kos pengeluaran MSM sebanyak RM2,500 bagi baki FY23, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Hap Seng Plantations Holdings Berhad yakin bahawa dapat mengurangkan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah iaitu RM2,500 bagi setiap tan untuk baki tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Kenanga Research bagaimanapun berkata, kos itu lebih tinggi daripada panduan awal mereka sebanyak RM2,300 bagi setiap tan untuk FY23 tetapi sejajar dengan unjuran mereka kerana firma itu menaikkan kos MSM kumpulan sebanyak 8%.

 

"Sejumlah 60% daripada sasaran baja FY23 telah digunakan pada 1HFY23 dengan kira-kira 40% dilakukan pada 2QFY23 sahaja yang menyumbang kepada kos yang lebih tinggi pada suku tersebut.

 

"Tambahan pula, kos baja untuk 2HFY23 dijangka 20% lebih rendah daripada separuh tahun pertama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kos pengeluaran MSM pada 1HFY23 berada pada RM2,752 setiap tan, 20% melebihi purata separuh pertama terakhir RM2,297 setiap tan.

 

BACA JUGA: Untung bersih Hap Seng Plantations susut hampir 86% kepada RM9.4 juta pada 2QFY23 akibat purata harga jualan yang rendah

 

Terdahulu, kumpulan itu akan terus menumpukan perhatian kepada penambahbaikan kadar hasil dan pengekstrakan buah tandan segar (BTS) sambil meningkatkan usaha bersepadu bagi meningkatkan kecekapan kos keseluruhan operasinya.

 

Kumpulan itu menjangkakan keputusannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 akan dipengaruhi pergerakan harga komoditi, kos pengeluaran yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi global.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk kesan cuaca terhadap bekalan minyak makan, turun naik harga komoditi yang tidak menguntungkan, dan inflasi kos pengeluaran.

 

Mereka juga menyemak turun dividen FY23-FY24 kepada 7 sen berbanding 10 sen, sejajar dengan panduan pembayaran 60% kumpulan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM1.80 sesaham," katanya. - DagangNews.com