KUALA LUMPUR 10 Mac - Indeks harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan kayu untuk semua kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan pada Februari 2023 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan 1.5% berbanding Januari 2023, seiring dengan peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.
Katanya, harga bijih besi dijangka kekal tinggi didorong oleh keyakinan terhadap permintaan besi pada masa hadapan di China.
"Mining.com juga melaporkan bahawa peningkatan berterusan permintaan perindustrian di China, peningkatan permintaan daripada sektor penggunaan besi hiliran serta harga bahan mentah yang kukuh terutamanya bijih besi, juga telah menyokong permintaan besi di pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata, menurut Persatuan Keluli Dunia melalui Tinjauan Jangka Pendek (SRO) bagi 2022 and 2023, permintaan besi pada 2023 dijangkakan dengan pertumbuhan sebanyak 2.2%.
"Tambahan pula, 'The Global Steel Outlook 2023' diterbitkan oleh Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan tambahan dalam penggunaan keluli pada 2023 dalam pasaran seperti India, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.
DOSM mengeluarkan perangkaan Indeks Kos Binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan & kawasan dan indeks harga seunit bahan binaan utama.
Ujar Mohd Uzir, simen yang menjadi elemen penting dalam industri pembinaan dihasilkan menggunakan campuran batu kapur dan tanah liat turut mencatatkan kenaikan harga.
Jelas beliau, indeks harga seunit simen meningkat 1.9% pada Februari 2023 berbanding Januari 2023.
"Antara penyumbang utama kenaikan harga bagi pasaran simen adalah peningkatan kos pengeluaran seperti peningkatan harga bahan mentah iaitu batu kapur, arang batu dalam proses pembakaran, tenaga dan kos penghantaran," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 'high tensile deformed bars' adalah RM3,653.26 bagi setiap tan metrik, meningkat 1.5% berbanding bulan sebelumnya iaitu RM3,599.37 per tan metrik.
Katanya, purata harga simen (Ordinary Portland) turut mencatatkan peningkatan 1.5% iaitu RM21.99 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM21.66 bagi setiap 50 kilogram pada Januari 2023.
"Selain itu, Indeks Kos Binaan (tanpa bar keluli & termasuk bar keluli) bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan peningkatan di antara 0.3 dan 4.1% pada Februari 2023 berbanding bulan sebelumnya. Peningkatan indeks yang tertinggi adalah cerucuk kayu.
"Bagi Sabah pula, IKB tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli menunjukkan peningkatan bagi hampir keseluruhan kategori bangunan antara 0.8 dan 8% pada Februari 2023 berbanding bulan sebelumnya. Peningkatan indeks yang tertinggi adalah bangunan (konkrit tetulang) satu tingkat di Sandakan," katanya.
Tambahnya, IKB tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli di Sarawak menunjukkan peningkatan iaitu di antara 0.1 dan 1.5% bagi hampir semua kategori bangunan kecuali di Miri. - DagangNews.com