Harga bahan pembinaan dijangka lonjakkan kos MRT3 lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Harga bahan pembinaan dijangka lonjakkan kos MRT3 lebih tinggi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Mac - Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) sepanjang dijangka menelan kos yang lebih tinggi berikutan lonjakan harga bahan pembinaan yang semakin meningkat. 

 

Ketika projek itu yang membabitkan laluan sepanjang 50 kilometer (km) dibatalkan pada 2018, kos pembinaannya dianggarkan sekitar RM40 hingga RM50 bilion sebelum disemak semula antara RM27 hingga RM32 bilion. 

 

MIDF Research berkata, kos akhir bagi MRT3 mungkin lebih tinggi berbanding MRT2 kerana merangkumi bahagian bawah tanah yang lebih besar iaitu 40% berbanding 23.4% bagi MRT2. 

 

Ini kerana katanya, kerja-kerja terowong adalah lebih berintensifkan buruh, ditambah pula dengan kos jentera berat yang tinggi seperti mesin pengorek terowong. 

 

Bahagian bawah tanah MRT2 menelan kos RM13.1 bilion manakala landasan bertingkat pula mencecah RM17.4 bilion. 

 

MRT2 membabitkan jajaran sepanjang 57.7 km terdiri daripada 44.2 km laluan bertingkat manakala 13.5 km laluan bawah tanah dengan 36 stesen. 

 

"Menggunakan ini sebagai perbandingan, MRT3 mungkin menelan kos sebanyak RM31.22 bilion, iaitu RM19.4 bilion bagi bahagian bawah tanah manakala RM11.82 bilion bagi landasan bertingkat.

 

"Malah, kos ini berkemungkinan lebih tinggi bagi MRT3 berbanding kos yang dispekulasikan sebelum ini disebabkan kenaikan harga bahan pembinaan," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

MRT Corp. sebelum ini telah mencadangkan model pembiayaan hibrid untuk projek itu di mana ia mungkin dijangka memanfaatkan inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

 

Baca : Kerajaan setuju laksana MRT 3, tambah baik Lebuh Raya Pan Borneo, projek tebatan banjir - PM

 

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kabinet bersetuju untuk melaksanakan projek MRT3, menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan projek tebatan banjir.

 

Keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan, terutama golongan bumiputera bagi menjana peluang perniagaan dan mewujudkan 600,000 pekerjaan, tahun ini.

 

Menurut MIDF Research, pengumuman tersebut adalah tepat pada masanya kerana sektor pembinaan dilihat agak 'sepi' sejak kebelakangan ini.

 

Katanya, kontrak pertama MRT3 dijangka dikeluarkan paling awal pada 2023, dengan mengambil kira pertimbangan proses tender dan model usaha sama awam-swasta (PPP) 3.0 yang dijangka diumumkan pertengahan tahun ini.

 

Dengan melihat saiz projek tersebut yang besar, firma itu juga berpendapat, kontrak berkenaan dijangka diberikan secara berpakej seperti yang pernah dilaksanakan ketika MRT2, apabila ia dibahagikan antara segmen bawah tanah, stesen, jejambat dan lain-lain.

 

"Kontrak bawah tanah kemungkinan paling besar akan diagihkan dan kami menjangkakan Gamuda akan menjadi penerima manfaat terbesar dalam kerja-kerja pembinaan ini.

 

"Gamuda, yang merupakan syarikat pembinaan terbesar di negara ini berdasarkan permodalan pasaran, dilihat sudah bersedia untuk projek ini, berdasarkan kepada usaha samanya MMC-Gamuda dengan pengalaman luas dalam MRT1 dan MRT2," jelasnya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu menaik taraf sektor pembinaan kepada 'positif' berbanding 'neutral' sebelum ini. - DagangNews.com