Harga barang naik, kuasa membeli isi rumah merosot | DagangNews Skip to main content

Harga barang naik, kuasa membeli isi rumah merosot

Gambar pasartani.fama.gov.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Berdasarkan analisis Indeks Harga Pengguna (IHP) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), kuasa membeli isi rumah di negara ini merosot sebanyak 16.7% dalam tempoh sedekad kepada 83.3%. 

 

Sebagai rekod, IHP diukur bagi menentukan kadar inflasi sekali gus mencerminkan kuasa membeli perbelanjaan penggunaan isi rumah Malaysia. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daripada 12 kumpulan utama, dua kumpulan barang dan perkhidmatan menunjukkan kuasa beli melebihi 100% iaitu Komunikasi (102.6%) dan Pakaian & Kasut (107.0%). 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Ini menggambarkan isi rumah mampu untuk menikmati perkhidmatan Komunikasi, Pakaian & Kasut yang sama pada harga lebih murah berbanding 10 tahun yang lalu. 

 

“Sementara itu, kumpulan Minuman Alkohol & Tembakau merekodkan kumpulan yang paling tinggi mengalami penyusutan nilai kuasa beli sebanyak 40.6%. Ini diikuti oleh kumpulan Makanan & Minuman (25.8%) dan Restoran & Hotel (24.5%),” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web DoSM.

 

Tambah beliau, inflasi bandar pada tahun 2020 bergerak lebih laju berbanding luar bandar. 

 

Ini bermakna perubahan harga barangan di bandar meningkat dengan lebih cepat berbanding luar bandar, katanya lagi.

 

Dalam pada itu, jurang inflasi di antara bandar dan luar bandar didapati semakin melebar mulai tahun 2014 dan terus meningkat sehingga 3.4 mata indeks pada tahun 2020. 

 

Dalam masa sama, kuasa beli mengikut kumpulan utama di kawasan bandar adalah lebih rendah (17.1%) berbanding kawasan luar bandar (14.7%), ujar beliau lanjut.

 

Kumpulan utama yang mencatatkan kuasa beli isi rumah lebih rendah di kawasan bandar ialah Kesihatan (20.1%), Restoran & Hotel (25.3%), Makanan & Minuman (27.0%) dan Minuman Alkohol & Tembakau (39.8%). 

 

Kumpulan yang sama ini juga menyumbang kepada kuasa beli isi rumah yang lebih rendah di kawasan luar bandar yang masing-masing mencatatkan 16.9%, 20.1%, 21.6% dan 42.7%.

 

“Pandemik COVID-19 yang berlaku pada 2020 secara tidak langsung menyaksikan Malaysia mencatatkan inflasi negatif iaitu 1.2%. Antara kumpulan yang mengalami penurunan harga yang ketara adalah Pengangkutan (-10.0%), diikuti oleh Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-1.7%) dan Pakaian & Kasut (-0.8%). 

 

“Walau bagaimanapun, Pelbagai Barangan & Perkhidmatan menunjukkan peningkatan dengan 2.7% diikuti oleh indeks Makanan & Minuman (1.3%) dan Komunikasi (1.1%). Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.6% hingga -1.9% bagi 2020 berbanding 2019. 

 

“Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-1.9%) diikuti oleh Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-1.9%), Kedah & Perlis (-1.8%) dan Sarawak (-1.8%). Walaupun kedudukan inflasi 2020 adalah negatif, inflasi bagi Makanan & Minuman sentiasa berada di jajaran yang positif (peningkatan),” kata Mohd. Uzir lagi.

 

Inflasi kumpulan itu berada pada paras 1.3%,  kadar paling rendah pernah dicatatkan dalam tempoh satu dekad. 

 

Jelas Mohd. Uzir, inflasi tertinggi bagi kumpulan tersebut adalah pada tahun 2011 dengan kadar 4.8%. - DagangNews.com