Harga emas jatuh di sebalik pelancaran vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Harga emas jatuh di sebalik pelancaran vaksin COVID-19

 

 

BENGALURU 16 Dis. - Harga emas diniagakan rendah pada Rabu setelah meningkatnya keyakinan terhadap pemulihan ekonomi susulan pelancaran vaksin COVID-19, lapor Reuters. 

 

Pada masa sama, pelabur pula memerhati dengan rapat perkembangan mengenai rangsangan fiskal AS dan dasar Rizab Persekutuan AS. 

 

Setakat 0100 GMT, harga kontrak emas jatuh 0.1% kepada AS$1,852.01 per auns selepas meningkat 1.4% dalam sesi sebelumnya manakala niaga hadapan emas menyaksikan sedikit perubahan pada AS$1,855.60. 

 

Vaksin COVID-19 yang dikeluarkan Moderna Inc. dijangka mendapat kelulusan pengawal selia di AS minggu ini, manakala pelancaran vaksin yang baru diluluskan semakin diperluaskan ke seluruh negara. 

 

Eropah pula dijangka memperoleh vaksin COVID-19 sebelum menjelangnya tahun baru apabila pengawal selia ubat-ubatan di peringkat serantau mempercepatkan proses kelulusan.

 

Di samping itu, pemimpin Kongres AS bersetuju untuk mengadakan perbincangan semula pada petang Selasa selepas pusingan rundingan awal untuk menyelesaikan rang undang-undang pembiayaan dan mengakhiri kebuntuan mengenai bantuan COVID-19. 

 

Rizab Persekutuan AS dijangka mengekalkan kadar faedah menghampiri sifar dan memberi petunjuk hala tuju kadar tersebut pada tahun-tahun akan datang dalam mesyuarat terakhirnya tahun ini. 

 

Kebanyakan penganalisis juga mengharapkan petunjuk baharu sehingga bila Rizab Persekutuan AS akan meneruskan program pembelian bon yang besar. 

 

Emas dilihat sebagai lindung nilai inflasi dan penurunan nilai mata wang. 

 

Pegangan dalam SPDR Gold Trust, dana perdagangan bursa emas terbesar dunia jatuh 0.1% kepada 1,170.15 tan pada Selasa. 

 

Perak jatuh 0.1% kepada AS$24.46 per auns manakala platinum jatuh 0.2% kepada AS$1,034.25 dan paladium susut 0.1% kepada AS$2,315.09. - DagangNews.com