Harga gula Malaysia perlu ikut perkembangan harga global | DagangNews Skip to main content

Harga gula Malaysia perlu ikut perkembangan harga global

Fokus oleh JOHARDY IBRAHIM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedang memantau perkembangan harga gula di pasaran dunia dan impaknya kepada harga gula dan bekalan gula tempatan.

 

Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menegaskan (harga pasaran dunia) faktor kestabilan bekalan gula mentah import dan kemampanan rantaian industri pembekalan gula diproses tempatan harus diberi perhatian, terutamanya pada ketika negara bergantung 100 peratus kepada import gula mentah untuk pasaran tempatan.

 

“Hala tuju industri dan bekalan gula tempatan perlu dilihat bukan hanya pada kadar harga gula di pasaran tempatan.

 

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dunia berhadapan isu harga gula mentah yang semakin melambung tinggi. Malah, lebih merisaukan ialah risiko kekurangan bekalan gula global,” kata beliau.


 

armizan
                                 Datuk Armizan Mohd Ali


 

Menurut penganalisis ekonomi, jika industri gula Malaysia tidak lagi mampu beroperasi, Malaysia perlu bergantung kepada gula import sepenuhnya di masa hadapan.

 

“Ini bermakna harga gula akan ditentukan oleh harga pasaran dunia yang jauh lebih tinggi daripada harga gula yang dirproses dan dijual di dalam negara kini,” Wan Mohd Farid Wan Zakaria, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM.

 

“Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada bekalan daripada luar untuk barangan asas dalam negara, kita juga perlu mengambil kira jika berlaku ketidakstabilan dan gangguan rangkaian bekalan dunia.

 

“Dan risiko jika negara pembekal mengehadkan eksport mereka untuk memberi keutamaan kepada pasaran domestik masing-masing,” ujar beliau.

 

Wan Mohd Farid berkata, tambahan lagi kebergantungan import yang tinggi akan meningkatkan lagi risiko terdedah kepada impak kadar matawang Ringgit yang lemah.

 

Jadi langkah yang akan diambil kerajaan dalam menangani harga gula ini perlu mengambil kira kesan jangka panjang dan pendek, kata beliau.


 

hikayat
          Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 

Naik RM1 sejak sedekad lalu

Industri pengeluaran gula di Malaysia sedang menghadapi cabaran yang semakin meningkat walaupun mengekalkan harga pengguna yang berpatutan selama bertahun-tahun.

 

Menurut maklumat yang dikumpul, harga runcit gula meningkat hanya satu sen sejak sedekad lalu, daripada RM2.84/kg pada 2013 kepada RM2.85/kg sekarang.

Idid

 

Bertentangan dengan kepercayaan umum yang dipegang oleh orang ramai, gula tidak disubsidi oleh kerajaan.

 

Malaysia mempunyai harga runcit gula terendah di rantau Asean dan antara yang terendah di dunia, dengan harga satu kg hanya RM2.85.

 

Ini jauh lebih rendah daripada negara Asean lain, seperti Filipina, di mana gula dijual pada harga RM8.53 (PHP105) sekilogram, dan Myanmar, di mana ia berharga RM6.41 (KS3,000) sekilogram.

 

Harga kawalan

Bagaimanapun, harga rendah terkawal yang ditetapkan kerajaan Malaysia kini menghimpit pengeluar gula kerana kos pengeluaran meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini.

 

Dengan kenaikan harga gula global akibat defisit dan kos pengangkutan dan minyak yang tinggi, kos purata pengeluaran gula kini jauh lebih tinggi daripada harga yang boleh dijual oleh syarikat.

 

Sebagai balasan, ini telah mengakibatkan kerugian yang ketara bagi setiap kilogram gula yang dijual oleh pengeluar gula.

 

Rungutan rakyat

Dalam kegusaran ramai rakyat mengenai langkah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melaksanakan pemotongan banyak subsidi, permintaan menaikkan harga gula oleh syarikat pengeluar ini tentunya mendapat reaksi negatif.

 

Kegusaran dan keresahan ini difahami pasti berlaku kerana semua langkah kerajaan tersebut walaubagaimana sekali pun rasionalnya bertujuan memanfaatkan golongan B40, ia diterjemahkan sebagai `harga naik’.


 

waionuiomata


Risiko gulung tikar

Tetapi realiti di sini ialah pengeluar gula berdepan dengan risiko kerugian.

 

MSM mengalami kerugian sebanyak 88 sen bagi setiap 1kg gula yang dikeluarkan, susulan peningkatan harga gula mentah dunia yang kini pada kadar AS$21.7 setiap tan.

 

Syarikat pengeluar gula utama negara itu beroperasi dalam kerugian sejak dua tahun lalu dengan terbaharu, rugi sebanyak RM36 juta bagi suku ketiga 2023.

 

Matematik mudah. Syarikat pengeluar rugi dan rugi, tidak lama lagi gulung tikar. Bila syarikat tempatan sudah tiada, terpaksa import luar negara.

 

Bail-out?

Ada yang mengkritik bahawa apa kewajaran kerajaan untuk menaikkan harga gula semata-mata untuk menyelamatkan syarikat pengeluar gula?

 

Bunyi memang sedap, manis dan padu. Tetapi menaikkan harga bukan semata-mata selamatkan hayat syarikat gula. Langkah ini juga bagi mengelakkan akhirnya nanti kita terpaksa mengimport gula dari negara luar. Harganya tidak mungkin lebih murah.

 

Ketika ini pun, Malaysia mengimport sepenuhnya gula mentah dari Brazil selepas negara pengeluar gula utama dunia, Thailand dan India membekukan eksport gula masing-masing.

 

Penggunaan gula isi rumah purata 2.6kg sebulan, dengan penggunaan per kapita pada 42kg setiap tahun, termasuk penggunaan industri.

 

Benar, barang makanan diproses gula akan naik. Industri makanan akan sama menaikkan harga. Itu kesan domino serupa bila harga tepung naik.

 

Daripada sudut kesihatan, ia diharap memberi kesan positif – rakyat akan mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman mereka, sekaligus menurunkan risiko penyakit diabetes yang merupakan antara penyakit terbanyak menjangkiti orang Malaysia.


 

gula

 


Keterjaminan makanan

Malaysia kini terpaksa bergantung import gula dari Brazil kerana negara kita ini tidak ada lagi ladang pengeluaran gula mentah.

 

Ladang tebu Chuping di Perlis ditutup pada 2012, mengkehendaki negara menggantinya dengan yang baharu, bersaiz besar dan segera. - DagangNews.com