Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah syarikat Top Glove Corporation (Top Glove) dilihat berada dalam trend peningkatan dan dijangka berterusan hingga Mac 2021.
CGS-CIMB Research berkata, perkara tersebut didorong oleh permintaan sarung tangan di peringkat global susulan peningkatan kes COVID-19.
"Top Golve menyatakan bahawa ASP masing-masing meningkat sebanyak 15% dan 10% bulan ke bulan pada Januari dan Februari 2021.
"Kenaikan pada Mac kemungkinan besar akan berlaku, sekurang-kurangnya sebanyak 5% bulan ke bulan," jelas CGS-CIMB Research hari ini.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Top Glove dalam satu pertemuan maya bersempena dengan Hari Korporat CGS-CIMB.
Pertemuan maya yang diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan Top Golve, Lim Chenong Fong dan Pengurus Kewangan Top Glove, See Sook Fong itu membincangkan tiga perkara utama iaitu berkaitan harga purata jualan, pembayaran dividen dan tahap kesejahteraan pekerja.
Top Glove dalam satu makluman di Bursa Malaysia baru-baru ini memberitahu, pihaknya merancang untuk menaikkan dividen kepada 70% bermula suku kedua tahun kewangan 2021 hingga suku keempat tahun kewangan 2021.
Susulan itu, CGS-CIMB Research memasukkan pembayaran dividen yang lebih tinggi ke dalam anggaran tahun kewangan 2021 dengan kadar bayaran dividen sesaham berjumlah 83.1 sen.
Dalam pada itu, Top Glove juga memperuntukkan RM195 juta modal pelaburan untuk membina dan membeli asrama pekerja berhampiran kilang dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham Top Glove dangan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM8.90," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com