Harga minyak cecah paras tertinggi 9 bulan | DagangNews Skip to main content

Harga minyak cecah paras tertinggi 9 bulan

 

 

SINGAPURA 17 Dis. - Harga minyak mencecah paras tertinggi bagi tempoh 9 bulan pada Khamis selepas data kerajaan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan stok minyak mentah menurun minggu lalu. 

 

Dalam masa sama, keyakinan terhadap pakej rangsangan fiskal menangani pandemik COVID-19 di AS juga semakin meningkat. 

 

Menurut Reuters, setakat 0116 GMT, harga Brent melonjak 28 sen atau 0.6% kepada AS$51.36 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat 27 sen atau 0.6% kepada AS$48.09 setong. 

 

Kedua-dua harga minyak ini mencapai paras tertinggi sejak awal Mac. 

 

Data yang dikeluarkan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS menunjukkan inventori minyak mentah jatuh 3.1 juta tong bagi minggu berakhir 11 Disember 2020. 

 

Jumlah itu mengatasi jangkaan penganalisis sebelum ini dengan penurunan 1.9 juta tong, selepas stok meningkat minggu sebelumnya. 

 

Penganalisis ANZ dalam nota kajiannya berkata, pengeluaran AS juga jatuh buat pertama kali sejak akhir Oktober. 

 

Menurut EIA, minyak mentah bertapis turut mencatat penurunan 253,000 tong sehari pada minggu lalu manakala kadar penggunaan penapisan jatuh 0.8%.  

 

Antara faktor utama merangsang kenaikan harga minyak termasuklah keputusan Rizab Persekutuan AS mengekalkan dasarnya dengan kadar faedah rendah manakala penggubal dasar hampir mencapai kata sepakat untuk memberi bantuan tambahan AS$900 bilion bagi menangani wabak COVID-19. 

 

Ini termasuklah AS$600 bilion untuk ransangan manakala AS$700 bilion untuk manfaat pengangguran. 

 

Malah, AS juga pada Khamis memperluaskan kempen untuk suntikan vaksin COVID-19 dalam kalangan doktor dan jururawat, memandangkan wabak itu kini telah meragut lebih 2,500 nyawa sehari di negara tersebut. - DagangNews.com