Harga minyak hampir cecah AS$41 setong | DagangNews Skip to main content

Harga minyak hampir cecah AS$41 setong

NEW YORK 19 Okt. - Harga minyak hampir mencecah AS$41 (RM170.01) setong di New York menjelang mesyuarat pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) pagi ini bagi menilai permintaan pasaran disebabkan peningkatan pandemik COVID-19. 

Menurut Bloomberg, walaupun tidak menjangkakan sebarang keputusan berkaitan bekalan dicapai sehingga pertemuan 1 Disember depan, Arab Saudi dan Rusia meningkatkan diplomasi ketika pasaran berdepan lebih banyak minyak mentah dari Libya dan negara OPEC yang meramalkan permintaan minyaknya berkurangan. 

Pergerakan harga minyak bertahan pada tahap semasa selepas jatuh di bawah AS$40 (RM165.86) setong awal bulan ini dengan jangkitan wabak semakin meningkat yang boleh menganggu penggunaan kembali pulih. 

Minggu lalu, Setiausaha Agung OPEC, Mohammad Barkindo menyifatkan permintaan minyak mentah semakin berkurangan manakala Agensi Tenaga Antarabangsa pula berkata prospek pasaran masih rapuh disebabkan pandemik tersebut. 

West Texas Intermediate bagi penghantaran November hanya merekodkan perubaha kecil pada AS$40.92 (RM169.67) setong di New York Mercantile Exchange pada 8:09 pagi waktu Singapura selepas susut 0.2% pada Jumaat lalu. 

Harga minyak Brent bagi Disember pula meningkat 5 sen kepada AS$42.98 (RM178.22) setong di ICE Futures Europe selepas rugi 0.5% dalam sesi sebelum itu. - DagangNews.com