Harga minyak jatuh menjelang mesyuarat OPEC+ | DagangNews Skip to main content

Harga minyak jatuh menjelang mesyuarat OPEC+

 

 

 

SINGAPURA 30 Nov. - Harga minyak jatuh 1% pada Isnin menjelang mesyuarat pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) minggu ini. 

 

Mesyuarat ini akan membuat keputusan sama ada akan menangguhkan pengeluaran minyak secara besar-besaran ataupun tidak bagi mengimbangi pasaran global. 

 

Menurut Reuters, niaga hadapan Januari bagi Brent yang akan tamat Isnin, jatuh 58 sen atau 1.2% kepada AS$47.60 setong setakat 0800 GMT. Bagi kontrak Februari yang diniagakan aktif, jatuh 48 sen kepada AS$47.77 setong. 

 

Niaga hadapan bagi minyak mentah West Texas Intermediate untuk Januari juga susut 40 sen atau 0.9% kepada AS$45.13 setong. 

 

Penanda aras kedua-dua harga minyak ini dijangka meningkat lebih 20% pada November, paling mengukuh sejak Mei terutama didorong oleh perkembangan terhadap vaksin COVID-19 yang diharapkan dapat mencegah wabak itu dan kembali meningkatkan permintaan bahan api.   

 

Malah, penganalisis dan peniaga juga menjangkakan OPEC dan sekutunya termasuk Rusia dikenali OPEC+ itu akan menangguhkan perancangan tahun hadapan untuk meningkatkan pengeluaran minyak memandangkan pandemik itu masih menjejaskan permintaan. 

 

OPEC+ sebelum ini bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2 juta tong sehari pada Januari, kira-kira 20% daripada penggunaan global selepas merekodkan pengurangan bekalan tahun ini. 

 

Sumber yang memberitahu Reuters memaklumkan, kumpulan itu mengadakan mesyuarat pada Ahad tetapi belum mendapatkan sebarang konsensus bagi dasar pengeluaran untuk 2021 dalam mesyuarat Isnin dan Selasa. 

 

Mesyuarat pada Isnin akan bermula pada 1300 GMT. 

 

Penganalisis ANZ berkata, tanda-tanda perpecahan dalam OPEC menandakan kumpulan itu tidak bersetuju melanjutkan pengurangan pengeluaran semasa.  

 

"Sesetengah negara anggota termasuk Arab Saudi dan Iraq telah menyatakan keraguan terhadap dasar lebihan bekalan ini," katanya.  

 

Bank itu menganggarkan lebihan pasaran minyak akan meningkat sehingga 1.5 hingga 3 juta tong sehari pada separuh pertama 2021 jika OPEC+ tidak melanjutkan pengurangan pengeluaran. 

 

Dalam masa sama, jumlah operator minyak di Amerika Syarikat semakin meningkat pada bulan ke-4 berturut-turut ketika pengeluar kembali ke telaga minyak dengan harga kebanyakannya diniagakankan lebih daripada AS$40 setong sejak pertengahan Jun. - DagangNews.com