Harga minyak jatuh, ringgit dibuka rendah | DagangNews Skip to main content

Harga minyak jatuh, ringgit dibuka rendah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Ringgit menyusut 120 mata asas (bps) dalam dagangan pagi ini ekoran harga minyak dunia yang jatuh ketika kadar hasil perbendaharaan di Amerika Syarikat (AS) kian meningkat.

 

Pada 9 pagi, mata wang tempatan itu dibuka lebih rendah pada RM4.1210/1260 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam pada RM4.1090/1130.

 

Menurut HLIB Research, pertukaran dolar AS dan ringgit jatuh 0.3% kepada RM4.1105 pada Khamis (semalam), nilai lebih rendah berbanding dua sesi lonjakan sebelumnya. 

 

Jelas firma penyelidikan itu, lonjakan semula dolar AS adalah seiring kejatuhan harga minyak ketika wujud semula sentimen risiko-risiko yang dijangka membebankan kadar ringgit hari ini terutama menjelang hujung minggu ini. 

 

“Ini berpotensi mendorong dolar AS dan ringgit untuk diperdagangkan berhampiran julat RM4.09 hingga RM4.15,” kata HLIB dalam nota kajian hariannya.

 

Semalam, kadar hasil di AS menokok dua hingga 6.7bps.

 

Kadar hasil perbendaharaan AS meningkat 6.5 bps kepada 1.71%, paras tertinggi sejak Januari tahun lalu, iaitu sebelum pandemik COVID-19 sekali gus mendorong indeks dolar untuk mengukuh. 

 

Sementara itu, harga minyak pula menyaksikan penyusutan semalaman yang terbesar sejak April tahun lalu, apabila harga komoditi itu jatuh dalam paras negatif.

 

Minyak Brent dan WTI ditutup 7% lebih rendah, masing-masing pada paras AS$63.28 dan AS$60 setong ekoran para pelabur menilai semula prospek permintaan minyak mentah. 

 

Bagi prospek dolar AS, HLIB menjangkakan mata wang itu akan meningkat melepasi 92 memandangkan kadar hasil perbendaharaannya yang masih kukuh. 

 

“Kami menjangkakan dagangan dalam julat 91.40 hingga 92.50 untuk beberapa sesi akan datang,” kata HLIB lagi.  - DagangNews.com