SINGAPURA 19 Okt. - Harga minyak jatuh pada Isnin selepas China merekodkan pertumbuhan ekonomi suku ketiga yang lemah berbanding jangkaan disebabkan kebimbangan peningkatan kes COVID-19 yang memberi kesan kepada permintaan permintaan minyak mentah.
Berdasarkan data yang dikeluarkan hari ini, ekonomi China berkembang 4.9% menjangkaui unjuran penganalisis pada 5.2%.
Minyak mentah Brent pada Disember jatuh 20 sen kepada AS$42.73 setong setakat 0826 GMT manakala West Texas Intermediate (WTI) bagi November berada pada paras AS$40.69 setong, selepas susut 19 sen. Kontrak tersebut akan tamat pada Selasa.
Minggu lalu, Brent meningkat 0.2% manakala WTI pula menokok 0.7% selepas inventori produk minyak dan mninyak mentah di Amerika Syarikat (AS), pengguna utama dunia, jatuh.
Menurut Reuters, ahli ekonomi Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC), Howie Lee berkata, data bagi pertumbuhan perkhidmatan dan produk adalah perlahan tetapi pemprosesan minyak mentah agak mengecewakan.
"Kami menjangkakan harga minyak mentah juga akan lemah sepanjang hari," katanya.
Kecenderungan pembelian minyak oleh China dijangka perlahan pada suku keempat di tengah-tengah inventori yang tinggi dan kuota import yang terhad.
Jelas Lee, pelabur kini memberi tumpuan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pemantau Bersama Menteri (JMMC) melibatkan OPEC+ yang diadakan pada Isnin.
OPEC+ terdiri daripada Organisasi Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu pengeluar seperti Rusia.
JMMC akan membuat keputusan sama ada mengurangkan bekalan sedia ada daripada 7.7 juta tong setiap hari kepada 2 juta tong sehari mulai Januari. - DagangNews.com