Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Ringgit meneruskan momentum pagi ini apabila terus mengukuh, dibuka tinggi pada RM4.0530/0560 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Reuters melaporkan harga minyak melepasi paras AS$50 setong, kali pertama sejak Mac tahun ini yang didorong oleh keyakinan terhadap vakcin COVID-19 akan membawa pemulihan kepada permintaan.
Semalam, mata wang itu ditutup pada 4.0600/0620, disokong kenaikan harga minyak mentah.
AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0524 dan RM4.0573 manakala paras rintangan antara RM4.0651 dan RM4.0707.
"Ringgit semalam mengukuh untuk hari kedua, 0.07% kepada RM4.060. Indeks FBM KLCI pula ditutup tinggi untuk hari ketiga berturut-turut, menokok 0.48% kepada 1,654.4 mata.
"Ia mencapai paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan didorong oleh saham-saham perbankan dan pengeluar sarung tangan getah," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut firma itu, dolar AS susut 0.29% kepada 90.824, kembali ke paras rendah seminggu setelah perbincangan mengenai rangsangan fiskal menemui jalan buntu dan data pekerjaan juga lemah.
Harga minyak pula melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 9 bulan, selepas menokok 2.84% kepada AS$50.25 setong.
"Ini kali pertama harga minyak melepasi paras AS$50 setong sejak Mac tahun ini. West Texas Intermediate (WTI) pula meningkat 2.77% kepada AS$46.78 setong," katanya.
Keyakinan terhadap vaksin COVID-19 akan memulihkan permintaan dalam pasaran memberi rangsangan kepada harga minyak di sebalik peningkatan inventori minyak mentah minggu lalu yang dikeluarkan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS. - DagangNews.com