Harga minyak mahal akibat konflik beri cabaran besar kepada syarikat penerbangan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Harga minyak mahal akibat konflik beri cabaran besar kepada syarikat penerbangan - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 April - Kenaikan harga bahan api jet merupakan cabaran utama kepada sektor penerbangan susulan daripada konflik geopolitik di Timur Tengah yang kian memuncak kebelakangan ini.

 

Menurut MIDF Research, bagi penerbangan domestik, kesan harga bahan api jet yang lebih mahal telah dikurangkan oleh pelaksanaan surcaj bahan api yang berterusan.

 

"Selain itu, purata harga tiket penerbangan sekarang ini juga lebih tinggi berbanding tempoh sebelum pandemik COVID-19 susulan jumlah pesawat yang berkurangan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jelas firma penyelidikan itu, pendedahan trafik penumpang Malaysia ke Iran adalah terhad dengan syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines telah mengubah laluan penerbangan untuk mengelakkan ruang udara terjejas, sekali gus mengurangkan gangguan.

 

"Sementara itu, letusan Gunung Ruang (Sulawesi, Indonesia) mempunyai impak yang agak terkawal, kerana penerbangan dikembalikan semula menyebabkan tiada kehilangan trafik sebenar," ujarnya.

 

Kata MIDF Research, jumlah trafik penumpang dijangka kekal konsisten tahun ini dengan unjuran menunjukkan pertumbuhan 2.0% berbanding tahap 2019.

 

Jelas firma penyelidikan itu, ini sejajar dengan ramalan julat tinggi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

 

"Statistik yang dikeluarkan Malaysia Airports Holdings Berhad semalam menujukkan pemulihan penumpang sebanyak 86% berbanding tempoh sebelum pandemik COVID-19.

 

"Walau bagaimanapun, risiko penurunan yang ketara termasuk kemungkinan kelewatan dalam pengaktifan semula sepenuhnya pesawat AirAsia dan gangguan dalam penghantaran pesawat Boeing kepada syarikat penerbangan tempatan," jelasnya.

 

Kata firma itu, penyelesaian menyeluruh mungkin mengambil sedikit masa, terutamanya memandangkan cuti Aidilfitri baru-baru ini yang menyaksikan trafik adalah ketara tinggi termasuk penumpang yang pulang dari umrah.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan Neutral kepada sektor penerbangan dengan Capital A (TP: RM0.74) and MAHB (TP: RM8.75)- DagangNews.com