NEW YORK 10 Nov. - Harga minyak melonjak pada Isnin, peningkatan harian terbesar dalam tempoh 5 bulan selepas Pfizer mengumumkan keputusan vaksin COVID-19 yang lebih meyakinkan.
Menurut Reuters, Brent meningkat AS$2.95 atau 7.48% kepada AS$42.40 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) melonjak kepada AS$40.29 setong selepas meningkat AS$3.15 atau 8.48%.
Pasaran minyak juga melonjak selepas Arab Saudi mencadangkan supaya pengeluar minyak dapat menyelaraskan pengurangan bekalan, dengan mengambil lebih banyak tong daripada pasaran jika permintaan merosot ketika musim sejuk apabila jangkitan semakin merebak dan vaksin masih belum digunakan secara meluas.
Permintaan bahan api menurun di seluruh dunia ekoran penularan wabak COVID-19 dan jumlah jangkitan pula melepasi angka 50 juta di peringkat global.
Bagi sesetengah negara terutama Eropah, mula melaksanakan kembali sekatan pergerakan bagi mengekang jangkitan wabak tersebut.
Apabila terdapat berita mengenai vaksin, pedagang menaruh harapan virus itu semakin berkurangan tahun hadapan, sekali gus dapat membantu orang ramai kembali menikmati rutin harian dan meningkatkan permintaan.
Rakan kongsi di Again Capital, New York, John Kilduff berkata, harga minyak secara dasarnya akan memberi tindak balas kepada berita tersebut.
"Pandemik ini telah menjejaskan logistik dengan teruk dan 80% daripada tong minyak mentah adalah bahan api pengangkutan, jadi ini adalah tindak balas paling logik," katanya.
Kedua-dua kontrak minyak meningkat lebih AS$4 dalam sesi dagangan awal. Brent dan WTI masing-masing diniagakan 148% dan 139% daripada jumlah sesi terakhir.
Menurut Pfizer, uji kaji vaksin COVID-19 mempunyai keberkesanan lebih daripada 90% bagi mencegah wabak itu, yang mana berdasarkan data awal, sekatan terpaksa dikuatkuaskan bagi mengekang penularan pandemik.
OPEC+ yang terdiri daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak dan sekutunya, akan menyelaraskan urus niaga mereka bagi menyeimbangkan pasaran, menurut Menteri Tenaga Arab Saudi, Prince Abdulaziz bin Salman.
Negara anggota OPEC bimbang sekiranya Presiden AS, Joe Biden melaksanakan langkah-langkah ke atas Iran dan Venezuela, yang mungkin meningkatkan pengeluaran minyak sekali gus menyukarkan pelarasan bagi bekalan dan permintaan. - DagangNews.com