NEW YORK 16 April - Harga minyak mentah menuju kenaikan mingguan terbesar sejak awal Mac pada ketika keyakinan terhadap pemulihan permintaan akibat pandemik COVID-19 bertambah baik.
Menurut Bloomberg, niaga hadapan di New York adalah stabil pada Jumaat dan meningkat hampir 7% minggu ini.
West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Mei susut 9 sen kepada AS$63.37 setong di New York Mercantile Exchange setakat 7.48 pagi waktu Singapura setelah menokok 0.5% pada Khamis.
Bagi Brent pula, ia ditutup semalam, 0.5% lebih tinggi kepada AS$66.94 setong di ICE Futures Europe Exchange.
Permintaan bagi Brent adalah 49 sen pada Khamis berbanding 40 sen ketika awal April.
Terdapat lebih banyak petunjuk yang menandakan pemulihan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dengan pengangguran jatuh ke paras rendah era pandemik yang baru manakala jualan runcit pula semakin meningkat.
Ini kemudiannya diikuti dengan data kerajaan yang menunjukkan penggunaan gasolin oleh penduduk AS dan prospek positif dalam pasaran tenaga global yang dikeluarkan Agensi Maklumat Tenaga (EIA) dan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Momentum positif ini secara tidak langsung membantu harga minyak melepasri paras AS$60 setong yang mana pergerakannya tersekat sejak pertengahan Mac.
Bagaimanapun, pemulihan global daripada pandemik ini masih tidak menentu. Pada ketika AS dan China menunjukkan pemulihan, beberapa negara lain pula berdepan dengan kenaikan jangkitan COVID-19.
Di India, misalnya, syarikat penapisan sedang mengalihkan oksigen yang dihasilkan di loji pengeluaran mereka bagi membantu memerangi gelombang kedua wabak ini yang semakin serius.
Dalam masa sama, pasaran juga berdepan peningkatan bekalan beberapa bulan akan datang walaupun OPEC berkata minggu ini bahawa kenaikan permintaan sepatutnya mengurangkan stok global manakala IEA berkata lebihan sudah berlarutan sekian lama.
OPEC dan sekutunya dijadualkan akan mula menambah bekalan bermula pada Mei. - DagangNews.com