Harga minyak naik, pilihan raya AS bayangi pasaran | DagangNews Skip to main content

Harga minyak naik, pilihan raya AS bayangi pasaran

 

 

TOKYO 4 Nov. - Harga minyak pada Rabu melonjak 2% selepas data industri menunjukkan inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) merosot tetapi dagangan masih dibayangi ketidaktentuan dalam pilihan raya presiden AS. 

Menurut Reuters, West Texas Intermediate naik 2.1% kepada AS$38.46 setong pada 0436 GMT manakala Brent pula meningkat 80 sen atau 2% kepada AS$40.51 selepas berlegar antara AS$39.85 dan AS$40.70 setong. 

Minggu lalu, harga minyak jatuh lebih 10% berikutan peningkatan kes COVID-19 yang menyebabkan lebih banyak sekatan dikuatkuasakan. 

Minyak AS pula hampir menebus kerugian yang dialami dalam tempoh tiga hari selepas meningkat minggu ini menjelang pilihan raya tersebut. 

Penganalisis Minyak di Energy Aspects yang berpangkalan di Singapura, Virendra Chauhan berkata, individu yang aktif dalam pasaran akan membuat urus niaga dengan sangat pantas memandangkan pilihan raya masih tidak menentu. 

"Dalam masa beberapa jam dan hari akan datang, harga akan didorong aliran kewangan dan bukan dipacu bersandarkan asasnya lagi," katanya. 

Semalam, data dari kumpulan industri di Institut Petroleum AS menunjukkan stok minyak mentah AS merudum minggu lalu manakala gasolin pula meningkat. 

Stok simpanan minyak mentah jatuh 8 juta tong minggu lalu kepada 487 juta tong. 

Bagaimanapun data ini berbeza dengan jangkaan penganalisis dalam data Reuters yang menunjukkan peningkatan 890,000 tong. 

Sekiranya lebih banyak sekatan dilaksanakan di Itali, Norway dan Hungary bagi mengekang penularan COVID-19, ia akan menyebabkan kenaikan harga minyak terbatas. 

Menurut Chauhan, dengan menolak sentimen politik ke tepi, permintaan masih tidak menentu di Eropah apabila semakin banyak sekatan dilaksanakan walaupun permintaan Asia terhadap minyak dan produk minyak semakin pulih. 

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya diketuai Rusia yang dikenali sebagai OPEC+ merancang untuk mengurangkan bekalan daripada 7.7 juta tong setiap hari kepada sekitar 2 juta tong sahaja mulai Januari. 

Namun, difahamkan OPEC dan Rusia sedang mempertimbangkan lebih banyak pengurangan tahun hadapan bagi menyokong harga minyak. - DagangNews.com